SURAH AL-QURAN TUNGGANG TERBALIK
Edisi Nasional: Surah al-Quran tunggang terbalik
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
RAWANG: Seorang eksekutif logistik terkejut apabila surah naskhah al-Quran yang dibaca selepas solat Asar kelmarin, bercampur- aduk tanpa mengikut susunan asal. Naskhah al-Quran `tunggang terbalik’ itu yang dicetak di Taman Kempas, Johor Bahru pada 2000 mendapat kelulusan bertulis Kementerian Dalam Negeri (KDN) (sekarang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri) seperti tertera pada halaman terakhirnya.
Burhanuddin Yusof, 33, yang pernah mengikuti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata beliau bimbang sejumlah al-Quran yang dicetak pada tahun itu dimiliki ramai lagi umat Islam.. “Mustahil hanya satu naskhah al-Quran dicetak salah. Saya bimbang cetakan ‘songsang’ seperti itu diletakkan di surau serta masjid untuk bacaan umum,” katanya yang menyedari keganjilan isi kandungan al-Quran terbabit ketika mengunjungi rumah kakaknya, Noraini Yusof, 42, kelmarin.
Menurutnya, selepas solat Asar, dia membelek al-Quran itu sebelum membacanya. “Saya tersentak apabila mendapati sesuatu tidak kena ketika membaca surah al-Waqiah berikutan tiada ayat permulaan surah,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Dia kemudian meneliti keseluruhan kandungan al-Quran terbabit dan mendapati susunan surah dan ayatnya bercelaru.
“Bagi orang yang tidak mahir mengenai al-Quran, mereka mungkin tidak menyedari kesilapan itu, malah terus menggunakannya. “Sebagai umat Islam, saya amat kesal dengan kewujudan al-Quran ini yang boleh menyesatkan. Perkara ini tidak boleh dimaafkan dan perlu disiasat secara mendalam,” katanya.
Menurutnya, 16 halaman pada al-Quran itu dikesan bercampur-aduk susunan tidak mengikut turutan bermula pada halaman 520 hingga 536. Muka surat salah terbabit bermula pada bilangan 520 sebelum tiba-tiba melompat ke muka surat 281, 282 sebelum berubah ke muka surat 523, 524, 285, 286, 527, 528, 289, 290, 531, 532, 293, 294, 535 dan 536. Keadaan muka surat berselerakan ini turut menyebabkan 10 surah bercantum tanpa mengikut susunan wajib.
Beliau berkata, kesilapan itu secara tidak langsung merosakkan kesucian al-Quran “Apa yang berlaku tidak wajar dipandang remeh oleh pihak yang bertanggungjawab. Saya juga kesal kerana terdapat cop Kementerian Dalam Negeri yang secara langsung memperakui kitab terbabit untuk edaran umum,” katanya. Selain nombor fail KDN yang tertera pada cop itu, kata Burhanuddin, terdapat tanda pengesahan daripada Lembaga Pengawalan, Perlesenan dan Percetakan al-Quran yang memperakui ayat al-Quran di dalamnya betul.
Beliau sedih anak saudara perempuannya yang berusia 12 tahun khatam dua kali membaca al-Quran itu. “Akibatnya, dia terpaksa mengulangi semula bacaan dari awal menggunakan al-Quran lain selepas diberitahu kesilapan berkenaan,” katanya. Susulan penemuan al-Quran itu, Burhanuddin membuat aduan kepada Bahagian Tapisan Media Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), semalam. Bagaimanapun dia diarah menyalurkan aduan terbabit ke KKDN yang didakwa lebih bertanggungjawab dalam isu terbabit. “Saya meminta hal itu disiasat dan segera menarik semula lesen percetakan sekiranya didapati syarikat itu melakukan kesalahan. “Ini bukan kesalahan kecil yang boleh ditutup sebelah mata. Sebagai umat Islam saya bertanggungjawab dan meminta pemilik al-Quran lain memeriksa kandungan al-Quran masing-masing,” katanya.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home