Scroll images by bigoo.ws

Saturday, December 24, 2005

Mahdzir MB baru Kedah


SUBANG: Datuk Mahdzir Khalid dinamakan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru menggantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang meletak jawatan kerana masalah kesihatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mengumumkan, malam tadi.
Beliau berkata, nama pemangku Menteri Besar Kedah itu sudah disembahkan kepada Sultan Kedah dan mendapat perkenan baginda untuk menggantikan Syed Razak. “Ketika saya membayangkan hasrat saya untuk melantik pengganti Syed Razak iaitu Mahdzir Khalid, Duli Yang Maha Mulia Sultan menyatakan persetujuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang TUDM Subang, dekat sini, sekembalinya dari lawatan ke Kelantan, semalam. Abdullah berkata, beliau menyampaikan surat rasmi mengenai pelantikan Mahdzir kepada Sultan Kedah hari ini untuk mendapat perkenan rasmi baginda. Syed Razak yang sedang bercuti panjang selepas diserang penyakit paresis, semalam meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah dan sudah menghadap Sultan Kedah bagi menyatakan hasratnya itu. Abdullah apabila ditanya mengenai tarikh pelantikan Mahdzir akan berkuatkuasa, berkata ia akan dilakukan selepas surat rasmi mengenai pelantikan Mahdzir disembahkan kepada Sultan Kedah dan mendapat perkenan rasmi baginda. Mahdzir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pedu, masih memangku jawatan Menteri Besar Kedah sejak 17 Julai lalu, dan akan berakhir pada 16 Januari tahun depan. Abdullah berkata, beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah bahawa Syed Razak sudah menghadap Sultan Kedah di Istana Anak Bukit pada 3 petang untuk menyampaikan hasratnya melepaskan jawatan berkuatkuasa mulai hari ini. Beliau berkata, peletakan jawatan Syed Razak disebabkan kesihatannya yang agak terganggu, oleh itu beliau tidak dapat memberikan sepenuhnya kekuatan dan tenaga untuk melaksanakan tugas yang berat serta mencabar sebagai Menteri Besar.
Sumber dari Harian Metro Edisi KL 23 Dec 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home