Konsert Lepas Geram Geng Black Metal
KUALA LUMPUR: Selepas cubaan mengadakan pesta liar di Langkawi digagalkan pihak berkuasa, sebahagian peminat muzik Black Metal menjadikan konsert sempena sambutan tahun baru di Jalan Klang Lama, di sini, sebagai medan melepaskan perasaan.
Ini diakui sendiri pengunjung konsert muzik liar berkenaan kepada polis selepas mereka ditahan kerana menghadiri pesta sambutan tahun baru tanpa permit itu dalam sebuah bangunan empat tingkat di Jalan Klang Lama, di sini, kelmarin.Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata seorang pemuda 20-an yang ditahan memberitahu dia menghadiri konsert itu kerana tidak dapat menghadiri pesta seks tepi pantai yang dirancang diadakan di Pantai Cenang, Langkawi.
Katanya, pemuda itu memaklumkan dia berbuat demikian sebagai alternatif untuk berhibur sempena sambutan tahun baru 2006.
Menurutnya, polis menghidu kegiatan kumpulan Black Metal itu berdasarkan risikan yang dilakukan sejak beberapa minggu lalu.“Selepas mendapat maklumat lengkap, sepasukan 30 anggota polis bersama lima pegawai diketuai Cif Inspektor Azhar Muda, menyerbu bangunan berkenaan pada jam 11 malam kelmarin.
“Ketika serbuan, semua ahli kumpulan Black Metal itu sedang ghairah menari termasuk beberapa gadis bertudung yang dikatakan menjadi penyeri ‘gig’ itu. “Hasil serbuan itu, seramai 380 pengunjung terdiri 310 lelaki dan 70 remaja perempuan ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, semalam.
Selain itu, katanya enam warga Singapura dan enam warga Jepun turut ditahan bersama pengunjung konsert berkenaan. “Selain tangkapan, polis turut merampas pelbagai produk, risalah, cakera padat dan kaset, buku ideologi dan baju-T yang ada kaitan dengan kegiatan tidak bermoral kumpulan terbabit. “Secara dasar walaupun mereka tidak mengaku ahli Black Metal, segala bukti yang dirampas itu menunjukkan wujud unsur Black Metal yang cuba diserapkan,” katanya. Malah katanya, semua remaja berbaju-T hitam itu sanggup berasak di ruang sempit dan bercampur gaul antara lelaki dengan wanita, sambil melakukan aksi seperti memuja syaitan.
Sementara itu, kumpulan remaja Melayu yang menghadiri konsert terbabit didapati turut disajikan pelbagai jenis arak yang dijual penganjur dengan harga istimewa iaitu sekitar RM7 hingga RM10 bagi setiap tin. Bagaimanapun, kebanyakan remaja beragama Islam terbabit enggan mengaku meneguk minuman haram itu, sebalik mendakwa ia kepunyaan pemilik bangunan yang disewa untuk pesta muzik terbabit.
Anehnya, ketika serbuan polis mendapati kebanyakan remaja yang diberkas sedang memegang tin minuman keras selain yang bertaburan di lantai di tingkat empat bangunan terbabit.
Selain itu, polis mendapati setiap peserta yang menyertai pertunjukan muzik ala Black Metal itu diwajibkan membayar RM15 seorang sebelum diberikan tiket khas oleh penganjur. Setiap tiket dicop dengan perkataan ‘Paul’s Place’ sebelum diberikan nombor siri khas bagi membolehkan pemiliknya mendapat cabutan nombor bertuah. Pertunjukkan muzik liar terbabit diberi tema ‘This Year’s Final Threat’ dipercayai membabitkan persembahan beberapa kumpulan muzik termasuk dari Jepun. Selain itu, pelbagai buku mengenai ideologi kumpulan muzik ‘bawah tanah’ itu ditemui dalam beg beberapa remaja yang ditahan, termasuk The Uprising, Stop The Clock dan DURGA.Malah, turut ditemui risalah berhubung album kumpulan pemuzik Black Metal seperti Evil Semen, Disgorge, Oxidised Razor, Kabak, Straight Answer, Second Combat, Devilica dan pelbagai kumpulan lain yang memperjuangkan muzik melampau.
Sementara itu, Dzuraidi sempat menemubual enam remaja yang ditahan bagi mendapatkan maklumat berhubung tindakan mereka menyertai pesta muzik liar terbabit.
DZURAIDI: Adakah awak pernah menyertai pesta Black Metal sebelum ini?
JAWAPAN: Tak pernah. Apa yang kami buat hanyalah berhibur untuk mencari bakat baru dan rakan semata-mata. Muzik kami tak sama dengan Black Metal. Kami tak ada unsur memuja, sembelih kambing atau puja darah. Semua itu tak masuk akal dan hanya propaganda media. Walaupun muzik kami terpekik terlolong namun tujuannya hanya untuk happy (berseronok).
DZURAIDI: Awak semua tahu atau tidak perhimpunan itu salah dan tidak sah mengikut undang-undang?
JAWAPAN: Saya sebenarnya tak tahu apa-apa. Saya diajak kawan-kawan.
DZURAIDI: Awak setuju atau tidak sekiranya saya katakan aktiviti terbabit adalah tidak sihat?
JAWAPAN: Kami cuma menyampaikan lagu dengan mesej positif sebagai contoh hidup tanpa dadah, tak ada unsur pemujaan dan ia semata-mata muzik.
DZURAIDI: Apa pandangan awak terhadap gejala Black Metal?
JAWAPAN: Kebanyakan anggota Black Metal adalah bekas pelajar. Mereka mudah terhasut untuk menjadi ahli Black Metal.
DZURAIDI: Kenapa ada penjualan arak dalam pesta muzik ala Black Metal itu sedangkan majoritinya dikunjungi remaja Islam?
JAWAPAN: (tergamam seketika) Itu saya tak tahu... mungkin pemilik bangunan yang jual atau orang lain.
DZURAIDI: Jika benar tidak ada unsur pemujaan dan syaitan dalam muzik yang awak perjuangkan mengapa ada risalah perkataan syaitan (evil) dan lambang Yahudi dan ayat lucah ‘f***’ yang dirampas polis?
JAWAPAN: (terdiam) Saya tak tahu perkara itu. Mungkin peserta lain yang bawa.
DZURAIDI: Awak tidak rasakah bahawa pesta terbabit membabitkan pergaulan bebas beratus remaja lelaki dan gadis dalam keadaan sesak sebagai tidak bermoral?
JAWAPAN: Muzik adalah bebas dan jika difikirkan apa yang kami lakukan tidak jauh beza dengan tindakan orang ramai yang mengunjung konsert Akademi Fantasia.
sumber dari http://www.hmetro.com.my/
p/s : Gnerasi muda yang semakin hanyut dengan alunan irama dan lagu-lagu barat. mereka semua perlukan bimbingan. Tetapi jika bimbingan yang diberikan hanya berteraskan kepada hiburan-hiburan barat, tanpa menyelitkan hiburan secara Islam maka tak mustahil remaja masa kini semakin hanyut dan hancur masa depannya..
0 Comments:
Post a Comment
<< Home