Scroll images by bigoo.ws

Friday, December 30, 2005

Kecelakaan Besar Orang Beli Keuntungan Dunia

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SAYYID Qutub berkata: "Di antara angan-angan mereka yang tidak selaras dengan dasar keadilan Allah s.w.t., tidak sesuai dengan undang-undang-Nya dan tidak secocok dengan konsep amalan dan balasan yang betul ialah mereka berfikir bahawa mereka akan terlepas daripada azab Allah s.w.t. walau apa pun kejahatan yang mereka lakukan, mereka tidak akan disentuh api neraka kecuali beberapa hari tertentu sahaja. Dan selepas itu mereka akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

"Atas dasar apakah mereka landaskan segala angan-angan mereka? Dan atas perhitungan apakah mereka membataskan masa azab itu seolah-olah mereka benar-benar yakin? Seolah-olah perkara ini merupakan suatu perjanjian yang telah ditentukan masanya.

"Sebenarnya ia bukan suatu apa pun kecuali angan-angan kosong daripada orang-orang jahil yang buta huruf dan pembohongan daripada ahli-ahli agama yang betul apabila mereka dilalui oleh masa yang amat lama dan terputus daripada hakikat agama mereka yang sebenar, hingga tiada lagi yang tinggal kecuali nama dan bentuknya sahaja, bukannya isi dan hakikatnya, dan ini pada sangkaan mereka sudah cukup untuk menyelamatkan mereka daripada azab kerana mereka telah mengisytiharkan dengan lidah mereka bahawa mereka berpegang dengan agama."
Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis kitab Taurat dengan tangan mereka sendiri (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: "Ini ialah daripada sisi Allah"(dengan maksud) supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka kerana apa yang mereka kerjakan itu.

Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu." Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?" (al-Baqarah: 79-80)
Firman Allah s.w.t., kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka). Layak dan patutlah mereka menerima kecelakaan dan azab Tuhan di atas tindakan mereka meminda Taurat, menulis ayat-ayat berikut yang menyeleweng dengan tangan mereka. Perkataan `wail` ditafsirkan dengan beberapa tafsiran.

*Satu lembah dalam neraka jahanam. Apabila dihumban orang kafir ke dalamnya, selepas 40 tahun baru sampai ke bawah. Hal ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w. daripada riwayat Abu Sa'id al-Khudri r.a.

lAl-Zajjaj berkata: "Wail ialah perkataan orang Arab yang menggunakannya bagi sesiapa yang terkena binasa dan kematian."

*Asal perkataan tersebut memberi makna azab dan kebinasaan sebagaimana kata Ibn al-Anbari. Kemudian mereka berkata: "Ini ialah daripada sisi Allah." Inilah dakwaan mereka kepada pengikut-pengikut mereka yang buta huruf sedangkan sebenarnya hanya rekaan dan ciptaan mereka. Kemudian menisbahkannya kepada Allah s.w.t. secara dusta dan tipu.
Perbuatan itu dilakukan untuk membeli keuntungan dunia yang sedikit. Pada sangkaan mereka, keuntungan tersebut yang bersifat sementara memberi kebaikan kepada mereka. Syeikh al-Maraghi berkata: "Mereka sanggup melakukan rasuah atas kerja yang mereka lakukan dengan meminda dan mengubah ayat Allah s.w.t.."

Allah s.w.t. menegaskan, adalah kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, di mana azab ditambah atas perbuatan mereka yang terkutuk itu dengan menyeleweng ayat-ayat Allah s.w.t..

Syeikh al-Maraghi berkata: "Penulis-penulis Yahudi yang dianggap pendeta melakukan tiga jenayah:

1. Meminda dan mengubah sifat Nabi s.a.w..
2. Berbohong terhadap Allah s.w.t..
3. Mengambil rasuah.

Justeru, layaklah mereka diberi ancaman terhadap jenayah yang mereka lakukan dengan perkataan `wail' atau kecelakaan.

Dan kecelakaan besar bagi mereka daripada apa yang mereka usahakan itu. Ini kerana perbuatan mereka penuh dengan keji dan maksiat serta bergelumang dengan perkara yang haram. Ibn al-Jauzi dalam kitabnya Zad al-Masir berkata: "Ayat ini diturunkan terhadap ahli kitab yang meminda Taurat serta menukar sifat Nabi s.a.w. di dalamnya. Inilah pendapat Ibn Abbas, Qatadah, Ibn Zaid dan Sufyan."

Dakwah

Sayyid Qutub berkata: "Bagaimanakah golongan-golongan manusia seperti ini dapat diharap akan menyambut dakwah yang benar, bersikap lurus mengikut hidayah dan mempunyai perasaan malu dan segan daripada mengubah dan memesongkan nas-nas kitab suci mereka sendiri yang dianggap menjadi batu penghalang di tengah jalan mereka? Sebenarnya mereka tidak mungkin diharap akan percaya kepada kaum Muslimin. Untung nasib yang menunggu mereka hanya kecelakaan dan kebinasaan. Itulah balasan terhadap tulisan-tulisan yang digaris oleh tangan mereka untuk mereka-rekakan pendustaan terhadap Allah s.w.t.. Itulah balasan terhadap pemalsuan dan pembohongan mereka."

Firman Allah s.w.t.: Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu." Itu berdasarkan tempoh masa mereka menyembah anak lembu atau tujuh hari sahaja.

Perkataan hari-hari ditafsirkan juga dengan tafsiran yang lain, iaitu 40 hari sahaja sebagaimana pendapat Ibn Abbas, Ikrimah, Abu al-`Aliyah, Qatadah dan al-Suddi. Persoalan kenapa 40 hari terdapat tiga pendapat:

1. Antara tepi neraka ke sebelah sana, perjalanannya 40 hari. Hal ini disandarkan kepada Ibn Abbas.
2. Tuhan mencela kita dalam arahan-Nya, kemudian bersumpah untuk mengazabkan kita 40 hari dan memasukkan kita ke syurga sebagaimana pendapat al-Hasan dan Abi al-Aliyah.
3. Hari-hari tersebut hanya tujuh hari kerana pada sangkaan mereka bahawa usia dunia 7,000 tahun. Dan manusia diazab setiap seribu tahun sehari daripada hari dunia. Kemudian akan terputuslah azab sebagaimana dinisbahkan kepada Ibn Abbas.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu sudah mendapat janji daripada Allah sebagai cara ingkar dan keji, di mana persoalan ini ditanya bila pula Allah s.w.t. membuat perjanjian dengan kamu?"

Jika Allah s.w.t. membuat perjanjian seperti itu supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, kerana inilah sifat Allah s.w.t. yang sekali-kali tidak memungkiri janji.
Al-Samarqandi dalam Bahr al-`Ulum berkata: "Adakah kamu melakukan janji setia dengan Allah s.w.t. iaitu bertauhid, nescaya Allah s.w.t. sekali-kali tidak memungkiri janji-Nya. Atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?"
Di sini akan berlaku dua jenayah. Jenayah mengubah dan meminda kalam Allah s.w.t. dan jenayah mendusta dan berbohong ke atas Allah s.w.t..

Mengikut riwayat bahawa apabila mereka dimasukkan dalam neraka selepas beberapa ketika, maka berkata malaikat penjaga neraka, "Hai musuh-musuh Allah, telah berlalu masa dan kekallah kamu serta yakinlah kamu kekal di sini."

Syeikh al-Sya'rawi pula berkata: "Allah s.w.t. mendedahkan segala perancangan fikiran mereka di mana syaitan telah menghiasi bagi mereka kebatilan hingga mereka menjadikan iktiqad bahawa mereka mampu melakukan apa sahaja, mengambil harta dan kemegahan dunia dan merasai kemenangan dengannya."

"Ini kerana fahaman mereka bahawa sekali-kali mereka tidak diazab pada hari akhirat kecuali azab yang sedikit lagi ringan. Justeru, Allah s.w.t. dedahkan kenyataan mereka."

*DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home