Scroll images by bigoo.ws

Thursday, September 22, 2005

Presiden Pas Bersuara.


Ustaz Hadi jelaskan isu Mawi di London
Thursday, September 22 @ 12:14:17 MYT
Oleh ABU ZAED dari London
Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkesempatan singgah di UK selepas program jemputan yang dihadiri di Bosnia sempat mengadakan sesi soal jawab di sini bersama penyokong dan pendokong PAS.Mengulas isu Mawi dan hiburan, beliau menyebut bahawa Islam tidak mengharamkan secara mutlak serta tidak pula menghalalkan secara mutlak hiburan.
Ia dibenarkan selagi tidak melalaikan dan tidak menimbulkan perkara haram hasil daripadanya.
Beliau mengambil contoh dari surah As-Syu'ara yang pada penghujungnya menggambarkan para penyair itu mudah cenderung kepada perkara sesat dan melalaikan melainkan orang yang beriman.
Rasulullah s.a.w. membenarkan Hassan bin Tsabit untuk bersyair bagi melawan para penyair yang merosakkan dan menentang Islam.
Ikut garis panduan
Di Kelantan, setiap langkah yang diambil adalah untuk memastikan hiburan yang dianjurkan mengikut garis panduan yang sedia ada sebagaiman yang dianjurkan oleh Islam.
Ini termasuk mengasingkan lelaki dan perempuan, mengadakan solat Maghrib sebelum program dan membawa lagu-lagu yang berbentuk nasyid.
PAS menentang Akademi Fantasi yang bukan setakat mengaut keuntungan hasil dari program tersebut tetapi untuk mempunyai agenda untuk merosakkan muda mudi Islam.
Beliau mengatakan, Mawi yang baru menceburi bidang hiburan perlu dibimbing. Kegusaran yang bidang hiburan ini boleh menjuruskan Mawi kepada kelalaian ini turut dikongsi oleh keluarga Mawi.
Sebenarnya isu ini sengaja ditimbulkan oleh media untuk menutup isu-isu yang lebih besar termasuk isu rasuah, isu AP dan pelbagai lagi kelemahan di dalam pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional.
Komen Shahidan Kassim
Mengulas komen dari Menteri Besar Perlis, Datuk Shahidan Kassim, beliau menyebut, bagi PAS, bukan sahaja bulan Ramadhan, malam Jumaat atau hari-hari tertentu sahaja.
Hiburan yang melalaikankan ini perlu diharamkan di bulan-bulan lain juga dan itulah pendirian PAS selama ini.
Umno hanya menghormati bulan Ramadhan tetapi membiarkan maksiat berleluasa pada waktu-waktu lain. Pendekatan yang dibawa PAS jauh berbeza dengan hiburan yang dibenarkan oleh Umno.
Beliau turut memuji langkah yang diambil oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku ketua kerajaan negeri, sebagai langkah yang bijak untuk menangani sensitiviti golongan remaja termasuk anak-anak orang PAS sendiri tetapi pada masa sama membezakan hiburan yang dibenar dan dilarang oleh Islam. - um
Sumber : Harakahdaily

0 Comments:

Post a Comment

<< Home