Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, January 11, 2006

Jangan sampai kita pula terkorban di Eidul Adha ini

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar
Demikianlah permulaan takbir yang akan diulang-ulang oleh umat Islam seluruh dunia bermula sejurus selepas maghrib sebentar tadi yang berpusat di Tanah Suci Makkah sehinggalah ke berakhirnya hari-hari tasyrik pada tanggal 13 Zulhijjah nanti.
Sesungguhnya Eidul Adha ataupun Hari Raya Korban adalah hari yang besar bagi umat Islam. Hari tersebut menandakan hari Allah swt menguji kesetiaan dan ketaqwaan hambanya Ibrahim a.s. Dan ternyata kekasih Allah ini taat dan patuh pada perintah Allah walaupun terpaksa mengorbankan anakandanya yang dikasihi iaitu Ismail a.s. Eidul Adha adalah hari dimana Allah swt berpuas hati dengan ketabahan Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s.Pengajaran besar dari peristiwa korban ini adalah bahawa umat Islam khasnya umat Muhammad s.a.w, selaku umat akhir zaman, perlu sentiasa bersedia mengorbankan harta benda dan jiwa demi mempertahankan agama Allah swt ini.Tiada gunanya kita berhari raya, berlemang dan berketupat, berendang dan berserunding, sekadar mengisi dan memuat perut namun tiada iktibar dan pengajaran yang dipungut. Begitu juga tiada gunanya kita membanting tulang, merebahkan lembu dan kambing, menyembelih, menyiang dan melapah lalu mengagih-agihkan daging dan tulang, namun tiada kesan yang datang.Kita dituntut bermuhasabah, kita dituntut memperakui kebesaran dan kekuasaan Nya. Lantas manifestasi dari bertakbir dan berkorban tadi adalah kesediaan kita untuk menyerah diri kepada segala ketentuan Nya.
Sesungguhnya telah ditentukan Nya bagi kita untuk berpegang teguh, patuh dan melaksanakan segala peruntukkan dan hukum hakamnya yang terkandung dalam al Quran dan Sunnah Rasul Nya s.a.w.Ianya harus menjadi panduan hidup, perlembagaan dan perundangan yang memandu dan mentadbir hidup kita. Dan jika hakikat itu kita pandang remeh, kita pandang kecil dan kita pandang sepi, maka Eidul Adha sekadar upacara kita bersuka ria sebagaimana banyaknya upacara-upacara lain, sekadar mengisi perut berpesta sembelih lembu dan kambing, berseronok dan esoknya sambung bekerja seperti biasa.
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar Walillah hil Hamd.
TERKINI
Sementara itu sedang kita bertakbir dan melangkah pergi ke masjid dan surau untuk bersolat Eidul Adha pagi nanti, eloklah kita turut merenung keadaan dan nasib Islam di Tanah Air kita ini.Sebentar tadi saya difahamkan laman Malaysiakini menyiarkan, satu badan yang dikenali sebagai HINDU RIGHTS ACTION FORCE ataupun BADAN BERTINDAK HAK HINDU yang menghimpunkan 30 NGO termasuklah badan-badan seperti Hindu Seva Sangam, Pergerakan Belia Vivekananda, Majlis Belia India Malaysia dan Yayasan Tamil telah menyerahkan petisyen kepada Yang Di Pertuan Agong agar menggantung dan memecat Hakim Mahkamah Tinggi (rayuan khas) Hakim Md Raus Sharif.Hakim Md Raus sebelum ini telah mendengar kes permohonan isteri Allahyarham Mohammad a.k.a Moorthy yang menuntut agar suaminya diisytiharkan sebagai seorang Hindu dan bukan Islam agar mayatnya boleh diperlakukan mengikut adat istiadat Hindu.
Hakim Md Raus telah menolak permohonan tersebut atas alasan kehadiran Perkara 121 (1) (A) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang mahkamah sivil campurtangan dalam keputusan mahkamah syariah.Malah Badan Bertindak Hindu ini ditubuhkan semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut yang memperakui kuasa mahkamah syariah yang sebelumnya telah pun mengisytiharkan Allahyarham sebagai seorang Muslim sebelum meninggal dunia.
Sebelum ini sekumpulan badan-badan NGO bukan Islam telah menyerahkan memorandum kepada kerajaan agar membatalkan Perkara 121 (1) (A) dan dikembalikan ke peruntukkan asalnya.
Nampak-nampaknya tuntutan dan cabaran pihak bukan Islam ini semakin menjadi-jadi dan kelihatan sudah hampir diluar kawalan. Rasanya tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia Merdeka, mana-mana pihak atau kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah sehingga berani menuntut agar hakim yang mendengarnya dipecat!
Ya Allah selamatkanlah ISLAM di Malaysia
Dimanakah silap kita?Sempena merayakan Eidul Adha yang besar maknanya kepada umat Islam ini eloklah kita renung bersama Firman Allah swt dalam surah al Maidah ayat 54 yang bermaksud:Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia, mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan Nya kepada sesiapa yang dikehendaki Nya, kerana Allah Maha Luas limpah kurnia Nya, lagi Meliputi Pengetahuan Nya.
Saudara-saudara sekalian sedang elok kita merayakan Hari Raya Korban ini jangan sampai maruah dan harga diri agama kita pula yang terkorban!

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Apa itu korban?
www.keretamayat.blogspot.com
kalau salah tolong jolokkan.

6:39 PM  
Anonymous Anonymous said...

saya xdapat nak terang secar terperinci tetapi secara ringkasnya kita lihat sejarah Nabi Ibrahim A.S dengan anaknya Nabi Ismail A.S.inysa-Allah daripada cerita itu dapat dihuraikan segala2nya

10:44 PM  

Post a Comment

<< Home