Scroll images by bigoo.ws

Monday, January 09, 2006

Sebagai Renungan - 50 tahun: Kenapa PAS Melaka masih tidak dapat bertapak?


"Tuan Editor,Setelah lebih hampir 10 tahun saya menetap di Melaka dan berada di dalam jemaah PAS, saya merasa terpanggil untuk memberi komen ikhlas saya tentang PAS Melaka demi untuk kebaikan.
Secara ringkasnya sejarah PAS Melaka bermula pada tahun 1957 dimana cawangan pertama yang ditubuhkan secara rasmi adalah di kawasan Masjid Tanah yang diketuai oleh Hj Latif M Yasin. Proses penubuhan PAS adalah secara berperingkat-peringkat sehinggalah pada penghujung tahun 1958, hampir semua cawangan PAS ditubuhkan disetiap kawasan.
Setelah lebih 46 tahun sehinggalah sekarang, PAS Melaka yang telah bertukar pucuk pimpinannya (Pesuruhjaya) buat 9 kali kini diketuai oleh Ustaz Abd Ghani masih terkapai-kapai mencari tapak, menongkah perahu mencari haluan, berputih mata mengharapkan kelahiran anak sulung berkembar dua, tiga yang entah kunjung tiba entah tidak. Kepesatan pertambahan penduduk Melaka yang kini hampir berjumlah satu juta langsung tidak membantu PAS Melaka menaikkan sokongan.
Senario politik PAS Melaka sebenarnya agak unik. Hendak dikata tiada tokoh di kalangan rakyat Melaka, tidak masuk akal kerana kita tahu ramai anak-anak watan Melaka yang berkedudukan, berpangkat dan berpengaruh, tidak kurang dengan golongan profesional yang sama-sama boleh menggembleng tenaga bagi memperjuangkan kepentingan parti setempat – pastinya yang sealiran fikrahnya akan menjadikan PAS sebagai pilihan mereka. Berdasarkan pengalaman penulis, ramai golongan profesional Melaka yang seolah-olah tidak tahu macamana mereka boleh memberi sumbangan kepada perjuangan parti, melalui saluran yang tidak mengancam kedudukan mereka. Sehingga ke hari ini, apa yang kita lakukan untuk mendekati golongan seperti ini? Berapa ramai lagi anak-anak muda lepasan IPTA/IPTS yang ingin mendekati parti yang kita pimpin tangan mereka untuk memantapkan lagi kepercayaan, tuntutan agama tentang perkara ini? Jawapannya saya rasa tiada!
Program-program anjuran PAS Melaka tidak kurang bilangannya. Ironinya, jika dikira faktor geografi Melaka tidak sukar untuk mendapat bantuan pimpinan Pusat dari segala segi. Sumber-sumber berita dari Melaka yand disiarkan di Harakahdaily membuktikan usaha-usaha berterusan masih ada dilakukan oleh segelintir para pekerjanya yang terus komited. Tetapi, seolah-olah usaha-usaha yang dilakukan masih belum mencukupi. Apa saja yang dibuat oleh PAS Melaka tidak berhasil. Lihat saja di setiap pilihanraya umum, pastinya menemui kegagalan. Tiada perubahan signifikan yang boleh membantu PAS Melaka di dalam setiap pilihanraya apatah lagi menambah keyakinan atau menjadi tarikan kepada golongan atas pagar, ahli-ahli UMNO apatah lagi bukan Melayu – jauh sekali. Imej dan sokongan terhadap PAS Melaka pada pengamatan saya dalam keadaan defisit untuk bertambah masih jauh. Pada pilihanraya yang lepas juga, penulis yang bertugas sebagai (polling agent & counting agent) PACA PAS melihat saluran 4 dan 5 iaut golongan muda yang dijangkakan akan memihak kepada PAS adalah meleset sama sekali.
Di antara program evergreen PAS ialah ceramah, tetapi dengan keadaan sekarang, kekangan dan ugutan kerajaan terhadap program - berapa kerat lagi yang sanggup dating, dengan kata lain pastikah kita bahawa ceramah boleh menarik minat golongan atas pagar, ahli-ahli UMNO atau non-bumi untuk datang mendengar? Tidak! Yang pasti, bagi golongan rakyat marhaen itu hanyalah salah satu bentuk ‘hiburan’ untuk ahli-ahli PAS mendengarkan hujah berapi-api oleh para pemimpin mereka! PAS Melaka secara khususnya mesti memikirkan kaedah-kaedah lain dalam usaha menarik minat semua golongan masyarakat terhadap PAS.
Kalau dilihat, gelombang DS Anwar Ibrahim pada tahun 1999 dulu juga masih tidak mampu menarik undi kaum Melayu ke arah PAS atau PKR, walaupun ada diperhatikan majoriti di tempat tertentu menaik tetapi tidak untuk merampas satu kerusi pun! Sebaliknya, undian DAP melonjak-lonjak sehinggakan 3-4 kerusi terutama di kawasan bandar berjaya dirampas oleh DAP. Walaupun secara keseluruhannya undian terhadap PAS bertambah pada pilihanraya tahun 2004 lepas iaitu sebanyak 0.07% daripada 15.0 namun prestasi PAS Melaka semakin merosot!
Ingin juga kita mengetahui apakah hasil post-mortem yang dibuat setiap kali pilihanraya? Apakah kelemahan-kelemahan sudah dikenal pasti? Apakah improvement yang dilakukan? Ataupun, adakah post-mortem dibincangkan secara serius dan adakah tindakan-tindakan susulan yang dilakukan? Di manakah para pemimpin PAS Melaka sebaik sahaja keputusan penuh tentang kekalahan di semua kerusi yang dipertandingkan diketahui? Tiga ke enam bulan selepas itu, apakah yang dilakukan para pemimpin PAS Melaka? Tarak!! No lessons learnt and the cycle will continues. No improvement made. Ini adalah antara ungkapan segolongan profesional di Melaka tentang PAS Melaka yang kecewa dengan prestasi PAS Melaka setiap kali pilihanraya. Apa hendak jadi wahai PAS Melaka? Sampai bila kitaran ini hendak kita teruskan? Tidak tahukah perjuangan kita adalah berterusan? Perjuangan kita adalah kerana Allah dan bukan kerana hendak menang? Apakah mindset kita tiada bezanya dengan UMNO?
Apakah (strength, weakness, opportunity & threat) SWOT analisis PAS Melaka? Adakah dilakukan secara berterusan? Kalau ditanya, bolehkah semua pemimpin-pemimpin PAS Melaka boleh memperincikannya?
Begitu juga dengan calon pilihanraya baik di perngkat DUN ataupun ADUN. Adakah calon yang dipilih adalah public figure yang dikenali oleh semua peringkat, pihak parti lawan terutamanya? Ataupun, wujudkah pemimpin sedemikian di dalam PAS Melaka? Kalau tiada, apakah fast forward para pemimpin untuk mengatasi yang kritikal ini?
Apakah PAS Melaka tidak pernah membuat kajian, homework, persediaan dsb? Apakah sasaran PAS Melaka dalam 10 tahun ke hadapan? Ataupun, wujudkah think tank PAS Melaka yang betul-betul berwibawa bagi menjana reformasi ataupun perubahan-perubahan yang perlu di dalam parti? Cukupkah sekadar mencari para professional membuat kerja secara adhoc yang maklumat2 nya boleh diperincikan lagi? Kalau ada, siapakah gerangan atau badan yang akan melaksanakan tindakan sedemikian? Bersediakah pemimpin-pemimpin yang sedia ada untuk direformkan secara drastik bagi kebaikan parti? Toleh kanan toleh kiri…
Bersediakah pemimpin-pemimpin kita ditegur secara terus terang demi kepentingan survivor parti dan bagi mempastikan PAS tidak outdated, yang tidak langsung menarik minat golongan-golongan pelapis? Sanggupkah kita menerima kritikan bahawa majority para pemimpin kita alpa, hanyut, tidak berwawasan dan hanya sekadar pak turut, tiada critical thinking, tidak bersedia untuk reform!
Apakah kelemahan-kelemahan PAS Melaka?
Antara kelemahan-kelemahan ketara PAS Melaka dari dulu hingga sekarang adalah:
1. Tiada SWOT analisis. Tidak tahu apakah kekuatan, kelemahan, peluang-peluang ataupun ancaman sedia ada dan bakal ada ibarat membawa kenderaan di waktu malam tanpa lampu!
2. Tiada kesatuan di dalam PAS Melaka. Pihak luar mungkin tidak mengetahuinya, tetapi, walaupun PAS Melaka masih tiada kerusi namun politik dalamannya tidak kurang hebatnya. Lain pula tentang kisah pemudanya.
3. Adhoc basis untuk semua perkara. Tiada perancangan jangka pendek, pertengahan dan panjang tentang hala tuju, strategi-strategi, penyediaan manifesto dan sebagainya.
4. Sistem kerja yang tidak sistematik, tidak synchronized. Tidak suka buat kerja tetapi berharap orang lain yang melakukannya.
5. Fundamental yang lemah. Kewangan tidak kukuh, tidak stand alone. Tiada penjanaan dana diperingkat negeri secara efektif.
6. Kredibiliti tokoh. Rata-rata masyarakat selain daripada ahli-ahli PAS tidak mengenali hampir lebih tiga suku calon-calon PAS yang dipertandingkan. Soalan tipikal adalah siapakah mereka? Apa sumbangan beliau terhadap kawasan tersebut? Apa yang boleh beliau lakukan jika menang?7. Tidak sensitif dengan keperluan semasa. Syok sendiri. Tidak suka bercampur dengan masyarakat, jauh untuk menjadi public figure. Terikut-ikut dengan cara pihak lawan.
8. Kurang tarbiyah yang berterusan dari para pemimpin ke akar umbi kerana itu adalah fundamental asas dan tujuan perjuangan.
Akhir kalam, senarai-senarai di atas adalah berdasarkan kajian dan pemerhatian penulis, untuk memperincikan segala kelemahan-kelemahan di dalam pimpinan, ahli-ahli, dsb satu badan profesional mestilah dibentuk untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Semoga tahun baru 2006 ini membawa perubahan-perubahan yang konstruktif kepada PAS Melaka khususnya.
Selamat Tahun Baru 2006.
Cabik Api1 Disember 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home