Sharon nazak akibat pendarahan otak serius
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon, nazak akibat pendarahan otak yang teruk, menyebabkan negara Yahudi itu yang akan menghadapi pilihan raya umum tiga bulan lagi, dilanda kebimbangan
Sharon (gambar), 77, yang digelar ‘Bulldozer’ oleh pihak Yahudi dan dikenali sebagai ‘pembunuh Sabra dan Shatila’ di kalangan orang Islam, menjalani pembedahan menyedut keluar darah dari otaknya selepas dikejarkan ke hospital malam kelmarin.Doktor menyifatkan keadaannya ‘serius’ dan kuasa kerajaan Israel kini diberi kepada timbalannya, Ehud Olmert.
Doktor menggantung pembedahan Sharon selama enam jam tetapi dia dimasukkan semula ke dewan bedah apabila mengalami komplikasi.“Perdana Menteri dimasukkan semula ke dewan bedah kerana ada bahagian yang perlu dirawat.“Pembedahan diteruskan beberapa jam lagi. Sebahagiannya perlu dibedah dan sebahagian lagi perlu diberi ubat berbeza.
Keadaannya serius,” kata Pengarah Hospital Hadassah di Baitulmaqdis, Shlomo Moryussef.Sementara itu, sumber kanan politik dilaporkan sebagai berkata: “Keadaannya nampak amat teruk. Saya tidak tahu jika dia akan sembuh.”
Sharon dikatakan lumpuh di bahagian bawah badan ketika tiba di hospital yang dikawal ketat.
Dia dimasukkan ke hospital beberapa jam sebelum dijadualkan menjalani prosedur membetulkan lubang kecil pada jantungnya untuk mengelak serangan angin ahmar yang dialaminya 18 Disember lalu.Keadaan kesihatan Sharon mengucar-kacirkan semua ramalan pilihan raya sebelum ini, yang menjangka parti baru pimpinannya, Kadima, menang besar.
Pakar perubatan berkata, pembedahan dijalani Sharon berpotensi mengancam nyawa dan jika selamat sekali pun, Sharon akan lumpuh.
Walaupun sejak menjadi Perdana Menteri, Sharon seolah-olah mahukan perdamaian dengan Palestin, umat Islam tidak melupakan peranannya yang tidak menghalang pelampau Kristian dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di khemah pelarian Sabra dan Shatila 24 tahun lalu. Ketika itu, dia memegang jawatan Menteri Pertahanan. – Agensi/AFP
sumber dari http://www.bharian.com.my/
0 Comments:
Post a Comment
<< Home