Scroll images by bigoo.ws

Saturday, January 07, 2006

Presiden Iran harap Sharon mati

TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, menyambut berita kesihatan buruk Ariel Sharon dengan menyatakan harapan mendengar berita kematian Perdana Menteri Israel itu.

Kenyataan itu disifatkan sebagai serangan lisan terbaru pemimpin yang sebelum ini mencetuskan kritikan antarabangsa apabila mencadangkan Israel ‘dihapus dari peta dunia.’
“Harap-harap akan kedengaran berita penjenayah Sabra dan Shatila bakal menyertai nenek moyangnya,” Ahmadinejad dipetik sebagai berkata oleh Agensi Berita Penuntut Iran (ISNA).
Beliau merujuk kepada pembabitan Sharon dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Kem Pelarian Sabra dan Shatila, Lubnan pada 1982 ketika memegang jawatan Menteri Pertahanan.
Sharon, 77 yang jatuh nazak selepas mengalami pendarahan teruk dalam otak semalam terpaksa dibedah lagi selepas doktor mengesan pendarahan baru.
Bagaimanapun, media rasmi Iran termasuk radio dan televisyen kerajaan tidak melaporkan kenyataan Ahmadinejad mengenai Sharon.
“Harap-harap penjenayah lain seperti dia akan turut menyertainya,” ISNA memetik Ahmadinejad sebagai memberitahu sekumpulan ulama di Qom, bandar raya yang terletak kira-kira 128 kilometer ke selatan Teheran.
Sejak dua bulan lalu, Ahmadinejad menjadi tumpuan dunia apabila menyifatkan Holocaust sebagai ‘mitos’ dan berkata jika Eropah menegaskan ia benar-benar berlaku, mereka perlu menyerahkan sebahagian bumi mereka untuk penubuhan negara Yahudi. – Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home