Scroll images by bigoo.ws

Saturday, February 11, 2006

8,000 berhimpun, bantah penghinaan ke atas Nabi

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Hrkh) - Lebih 8,000 orang berarak, menyertai perhimpunan aman di hadapan Kedutaan Denmark di sini hari ini, mendesak pihak akhbar dan kerajaan Denmark serta sekutunya memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di atas kebiadapan akhbar Jyllands Posten yang memulakan penyiaran karikatur menghina Rasulullah s.a.w.

Demonstrasi aman yang diketuai Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bermula di Masjid Kampung Baru setelah selesai menunaikan solat Jumaat.

Ini merupakan demonstrasi kali kedua yang dibuat oleh PAS Pusat manakala kali pertama dilakukan oleh Pemuda PAS Pusat pada 5 Februari lalu.

Sepanjang perarakan itu mereka melaungkan takbir dan selawat kepada junjungan besar Rasulullah s.a.w. Mereka membawa sepanduk, antara lain bertulis `Boikot produk Denmark', Free-Dumb to insult?,Hancur Denmark dan slogan dalam bahasa Arab.

Turut serta dalam perarakan tersebut, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Mohd Ramli; Ketua Penerangan, Ustaz Ahmad Awang; Ketua Pemuda PAS,
Salahuddin Ayub; Timbalan Ketua Muslimat, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali; Majlis Tertinggi PKR, Dr Badarulamin Baharom; Exco PAS Pusat, Negeri dan Kawasan.

Dalam perhimpunan di hadapan Wisma Denmark, Tuan Guru Abdul Hadi telah menyatakan bantahan kepada tindakan akhbar Denmark itu dan mengingatkan umat Islam supaya melahirkan kasih dan kecintaan kepada junjungan Besar Rasulullah s.a.w. dengan membuktikan segala kecintaan terhadap baginda hingga ke akhirat.

Katanya, umat Islam perlu meneruskan ketinggian martabat Nabi Muhammad s.a.w. dengan meneruskan segala ajaran dan perjuangannya.

Menurut beliau, walaupun akhbar mempunyai kebebasan tetapi kebebasan itu sudah pasti mempunyai hadnya dan umat Islam tetap menyanjung kebebasan.

"Ajaran Islam mewajibkan kita menjaga keselamatan kedutaan asing walaupun dengan negara yang bermusuh (berperang) kedutaan dan diplomat-diplomat tidak boleh diganggu.

"Ini mesti difahami dan ini merupakan satu gambaran yang sebenar dan hari ini kita menunjukkan gambaran yang sebenar mengenai Islam yang diperjuangkan oleh PAS," katanya.
Beliau berkata, Duta Denmark, Steen Petarson berjanji akan menyampaikan bantahan umat Islam kepada pihak kerajaan Denmark tetapi beliau menyatakan `dia tidak ada hak untuk meminat maaf yang berhak meminta maaf adalah kerajaan Denmark'.

Tuan Guru mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang menjaga keamanan dan dengan kerjasama itu, mereka boleh menjadi saksi di hadapan Allah di akhirat kelak kerana telah mengadakan bantahan terhadap penghinaan Rasulullah s.a.w.

Mohamad Sabu turut menyatakan bantahan dengan mengingatkan umat Islam supaya tidak melayan segala provokosi yang dimulakan oleh puak jahiliah.

Beliau meminta umat Islam memboikot barangan Denmark serta negara sekutunya dengan segera.

Katanya, umat Islam dilarang sama sekali menghina semua nabi serta mana-mana agama sama ada Kristian,Buddha, Hindu dan sebagainya.

Laungan takbir `Allah-u Akbar' menghangatkan lagi perhimpunan aman petang tadi. Walaupun diiringi hujan renyai-renyai, mereka tidak sedikit pun berganjak sebaliknya perhimpunan tetap diteruskan.

Mohamad Sabu berharap pihak akhbar dan kerajaan Denmark perlu segera meminta maaf kepada seluruh umat Islam dan menjaga sensitiviti umat Islam seluruh dunia.
Beliau melahirkan kekesalan kerana sikap kurang ajar yang telah ditunjukkan oleh akhbar `Tribune Sarawak' yang turut menghina Rasulullah s.a.w.

"Jika kerajaan dan akhbar Denmark tidak menarik balik penghinaan itu kami umat Islam di sini akan meneruskan bantahan setiap minggu sehingga pihak terlibat meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam," katanya disambut dengan laungan takbir.

Salahuddin Ayub turut menyatakan perhimpunan itu merupakan satu amaran awal dan umat Islam tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang terlibat menghina junjungan besar Rasulullah s.a.w.

Beliau menegaskan Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mesti bertegas mengarahkan negara anggotanya memboikot barang-barangan Denmark serta negara sekutunya.

"Jangan hanya bisu seribu bahasa, kami umat Islam sanggup mati kerana mempertahankan ketinggian martabat Rasulullah," katanya.

Orang ramai bertakbir apabila bendera Denmark diturunkan dan diganti pula dengan kibaran bendera lambang PAS.

Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali dengan penuh semangat mengingatkan suri rumah supaya memboikot barang Denmark.

Katanya, Muslimat PAS mewakili wanita seluruh dunia menyatakan bantahan tehadap penghinaan ke atas Nabi Muhammad.

Ustaz Nasharuddin Mat Isa terkilan dengan seketariat Kedutaan Denmark yang tidak membenarkan wakil delegasi seramai enam orang untuk bertemu dengan dutanya di pejabatnya tingkat 28.

Katanya, hanya tiga orang pimpinan PAS sahaja yang dibenarkan bertemu dan menyerahkan memorandum bantahan terhadap penghinaan Rasulullah iaitu Ustaz Abdul Hadi Awang, beliau sendiri dan Dato' Kamarudin Jaffar.

Sementara itu Ketua Polis Dang Wangi, ACP Kamal Bashar memuji demonstasi yang dipimpin oleh PAS itu berjalan secara aman tanpa sebarang provokosi daripada mana-mana pihak.
Katanya, pihak polis telah mengarahkan seramai 200 orang anggotanya untuk mengawal demonstrasi aman tersebut.

Pegawai di Kedutaan Denmark, Steen Hommel lega kerana demonstasi itu berlaku secara aman.

Beribu-ribu umat berarak membantah penghinaan terhadap Rasulullah di Kedutaan Denmark KL.Beliau berkata pegawai di Kedutaan Denmark berasa selamat dengan kawalan daripada pihak seketariat yang ketat.

Bagaimanapun Steen sedih dengan syor memboikot barangan Denmark kerana tindakan itu mengundang kurang rasa yakin negara Barat untuk mengadakan hubungan dagangan dengan negara ini.

Dato' Kamaruddin Jaffar pula melahirkan rasa gembira di atas sambutan 'luar jangka' umat Islam di negara ini terhadap piket bantahan yang dianjurkan.

Baginya, mesej yang disampaikan hari ini sudah cukup mengingatkan kepada bukan Islam dan negara Barat bahawa umat Islam pantang jika maruah agama mereka diinjak.

Justeru berdasarkan kepada memorandum dan solidariti yang ditunjukkan, PAS mendesak kerjaan Denmark dan negara terbabit membuat permohonan maaaf secara terbuka, katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti KeADILan Rakyat (PKR), Ustaz Badrol Amin Bahron pula menyeru seluruh umat Islam bersatu menentang siapa sahaja yang menghina Islam.

"Kita tentang akhbar Denmark, Perancis dan beberapa negara Eropah yang menyiarkan semula karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w. Malah kami menetang keras tindakan akhbar di negara ini yang turut menyiar gambar tersebut," katanya.

Baginya, akhbar itu perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini mahupun di dunia.

Jika kerajaan melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menahan beberapa individu Islam yang dikatakan mengugat keselamatan awam, PKR mahu kerajaan menjelaskan apa tindakan mereka dalam memastikan sensitiviti umat Islam tidak akan diusik selepas kejadian ini, katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin pula menyeru umat Islam di negara ini memboikot barangan keluaran Denmark, Perancis dan negara-negara yang turut serta terbabit menyiarkan karikatur.

Usaha ini perlu dipastikan berjaya bagi mengajar tindakan biadap negara tersebut mencetus kemarahan umat Islam, katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home