Scroll images by bigoo.ws

Thursday, February 09, 2006

Dunia bimbang kemarahan umat Islam -- 4 penunjuk perasaan di Afghanistan terbunuh

KABUL 8 Feb. - Tunjuk perasaan masyarakat Islam di Afghanistan terhadap tindakan penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad bertambah buruk hari ini apabila empat penunjuk perasaan ditembak mati oleh polis ketika mereka sedang berarak ke arah sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS).

Ketua polis wilayah, Ghulam Nabi Malakhail berkata, 11 lagi penunjuk perasaan turut cedera akibat terkena tembakan.

Katanya, lapan anggota polis berserta seorang askar kerajaan turut cedera selepas dilontar batu oleh penunjuk perasaan.

Menurut Ghulam, polis yang pada mulanya melepaskan tembakan ke udara kemudian terpaksa menembak ke arah penunjuk perasaan selepas mereka bertindak ganas dengan memanjat dinding sebuah pangkalan tentera AS dan membakar tiga buah tangki minyak.

Seramai 11 orang terbunuh selepas ribuan penduduk tempatan mengadakan tunjuk perasaan di beberapa buah bandar dan pekan di Afghanistan sepanjang minggu lalu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) semalam menyatakan rasa bimbang berikutan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

''Begitu juga dengan perbuatan menerbitkan semula karikatur Nabi Muhammad oleh beberapa akhbar di Eropah dan tindakan ganas tersebut daripada penerbitan itu,'' menurut para perwakilan tiga pertubuhan itu dalam kenyataan bersama.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan; Ketua Dasar Luar EU, Javier Solana dan Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu.

''Kami menyokong sepenuhnya kebebasan bersuara, tetapi kami memahami luka yang dalam dan menyeluruh di kalangan dunia Islam.

''Kami juga merayu kepada mereka untuk bersikap tenang dalam semangat persahabatan dan menghormati,'' tambah kenyataan itu.

Sementara itu negara-negara Barat menunjukkan sikap bermusuh mereka yang sebenar dalam kontroversi ini apabila saling menyatakan sokongan dan perpaduan kepada Denmark.

Di Washington, Presiden George W. Bush semalam memberi jaminan kepada Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen mengenai sokongan dan perpaduan terhadap keganasan yang tercetus akibat penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad.

Tindakan Bush itu merupakan susulan kepada pendirian Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Presiden Perancis, Jacques Chirac yang memberikan sokongan kepada Copenhagen selepas beberapa kedutaan Denmark diserang oleh para penunjuk perasaan.

Presiden Rusia, Vladimir Putin pula telah mengecam tindakan provokatif tersebut dan meminta para pengarang ''berfikir 100 kali'' sebelum menerbitkan gambar seperti itu.

''Saya berpendapat sebarang provokasi dalam keadaan seperti ini tidak boleh diterima. Sebelum menerbitkan sesuatu, melakukan sesuatu atau melukis, anda perlu berfikir 100 kali,'' katanya
sumber dari http://www.utusan.com.my 9 Februari 2006 ( Khamis )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home