Scroll images by bigoo.ws

Thursday, February 09, 2006

Caj air di Kelantan antara termurah di Malaysia

KOTA BHARU, 8 Feb (Hrkh) – Kelantan adalah antara negeri termurah di negara ini yang mengenakan caj bil air kepada pengguna iaitu 40 sen bagi satu meter padu, sedangkan negeri-negeri lain jauh lebih tinggi. Misalnya Johor mengenakan caj sebanyak RM2.50 bagi satu meter padu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang mengendalikan bekalan air bersih di negeri ini bukan semata-mata berorientasikan keuntungan.

“Sebaliknya untuk memberi perkhidmatan dan kebajikan kepada rakyat. Biar pun beroperasi sebagai syarikat swasta, namun masih boleh memberi perkhidmatan yang baik kepada pengguna tanpa mengenakan caj yang tinggi,” katanya ketika merasmikan perlepasan air AKSB di Kampung Belukar Limbat, Pasir Tumboh petang kelmarin.

Hadir sama, Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah dan pegawai kanan AKSB. Md Anizam berkata, bagi memastikan AKSB beroperasi mengikut kehendak kerajaan negeri, syarikat itu diletakkan di bawah Perbadanan Menteri Besar.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada semua rakyat dengan menyediakan prasarana antaranya membina loji baru, mengganti paip lama dan menaik taraf loji sedia ada.

“Misalnya untuk loji air Kampung Chicha kerajaan membelanjakan sebanyak RM60 juta, walaupun perbelanjaannya besar tetapi demi kemudahan untuk rakyat kerajaan sanggup berbuat demikian,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri memperuntuk sebanyak RM5,000 bagi setiap DUN untuk membantu rakyat miskin mendapatkan kemudahan bekalan air bersih.

Beliau juga berkata, bagi menggalakkan orang ramai menggunakan bekalan air bersih, AKSB memperkenalkan permohonan secara berkelompok, di mana caj pemasangannya yang dikenakan lebih murah berbanding permohonan secara individu.

Misalnya permohonan dibuat secara berkelompuk melibatkan 30 pemohon ke atas, caj sambungan air paip ke rumah dikenakan sebanyak RM22, berbanding RM65 bagi permohonan secara individu.

Menurut juga, AKSB sehingga sekarang mempunyai saluran paip sejauh kira-kira 8,000 kilometer untuk menyalurkan bekalan air kepada lebih 700,000 pengguna di seluruh Kelantan.
“Setakat ini 70 peratus bekalan air di negeri ini dibekalkan air di bawah AKSB dan 30 peratus lagi oleh pihak lain antaranya Kesedar di kawasan Hulu Kelantan, Jabatan Kesihatan dan pasukan tentera,” katanya.

1 Comments:

Anonymous Anonymous said...

CAJ AIR DI KELANTAN LEBIH MURAH??? MUNGKIN YA, TETAPI TAK DE GUNANYA.SAYA ANAK JATI KELANTAN AMAT KECEWA KERANA TAHAP KUALITI AIR DI KELANTAN, YAKNI KG. SAYA AMATLAH RENDAH LEBIH RENDAH DARIPADA CAJNYA. BAYANGKAN DI SIANG HARI, KELUARGA SAYA TERPAKSA CATU AIR DI MANA HANYA UTK KEGUNAAN MEMASAK DAN YG MUSTAHAK SHJ KERANA TIADA AIR. MANAKALA UTK MENCUCI PAKAIAN, PINGGAN MANGKUK ATAU MANDI TERPAKSA DILAKUKAN PD AWAL PAGI SBLM SUBUH ATAU TGH MALAM SAHAJA.KAMI RELA CAJNYA MAHAL SPT DI TMPAT LAIN JIKA KUALITINYA BAGUS SPT DI TMPAT TSB.

4:46 PM  

Post a Comment

<< Home