Scroll images by bigoo.ws

Thursday, February 09, 2006

Hina Nabi bukti pemimpin Islam tiada taring

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Hrkh) – Tindakan berani beberapa akhbar di Eropah mengulang siar karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w. selepas dimulakan oleh sebuah akhbar Denmark, menggambarkan betapa umat Islam terutama pemimpinnya semakin lesu dan tidak digeruni.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Mustaffa Kamil Ayub, juga mengakui tindakan menyiarkan semula penghinaan ke atas Nabi Muhammad oleh akhbar-akhbar berkenaan dan juga sebuah akhbar di negara ini, jelas menunjukkan kuasa Barat dan sesetengah orang bukan Islam tidak mengambil peduli sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.
Sehubungan itu, katanya Malaysia yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), sewajarnya menunjukkan kewibawaan mengemudi gerakan Islam seluruh dunia. "Ia sebaiknya bermula di dalam 'rumah tangga' sendiri iaitu Malaysia adalah negara yang sewajarnya mengemudi umat Islam," katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Barat yang sewenang-wenangnya menghina Islam oleh kerana kepimpinan Islam di seluruh dunia semakin hari semakin lesu. Jelasnya, apabila semua pihak mempersoalkan kewibawaan kepimpinan umat Islam maka tidak hairanlah agama Islam dan juga Nabi Muhammad s.a.w. juga boleh dipermainkan sedemikian.
Di samping itu, dakwa beliau, wujud agenda global antarabangsa yang ingin memberi tekanan kepada umat Islam sendiri kerana dianggapnya boleh menggugat kuasa dan tamadun Barat. "Sebab itu penghinaan, menyindir dan memperlekehkan agama Islam, termasuklah karikatur itu dilakukan berterusan," katanya.
Berhubung tindakan agresif umat Islam di seluruh dunia sebaik sahaja dikejutkan dengan penghinaan itu, katanya mungkin mereka tahu apa muslihat Barat menyiarkan kartun sedemikian sebab itulah mereka bertindak tegas. "Kita tidak boleh kata ia melampau, dan mungkin mereka sendiri mengetahui pokok sebenar Barat menyiarkan karikatur itu, walaupun mereka sudah meminta maaf," katanya.
Sementara itu, Jemaah Islah Malaysia (Jim) yang turut tersinggung dengan penyiaran semula karikatur Rasulullah mendesak kerajaan agar bertindak tegas selaras dengan peranannya sebagai Pengerusi OIC. Presiden Jim, Zaid Kamarudin, berkata langkah tegas perlu diambil memandangkan isu ini bukanlah satu isu yang boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan kesucian dan martabat umat Islam di seluruh dunia.
Beliau juga meminta masyarakat Islam agar menggunakan kuasa pengguna untuk memboikot barangan keluaran negara terbabit sebagai langkah bantahan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu. Ketika ditanya tentang sikap umat Islam di negara ini, termasuk pemimpinnya yang kelihatan seolah-olah 'lesu' berbanding negara luar, Zaid berkata tradisi dan budaya di Malaysia yang tidak sama menyebabkan ia kelihatan seolah-olah lesu. "Tindakan rakyat Malaysia mungkin lebih berhemah. Itu budaya kita yang mungkin sudah sebati dalam diri," jelas beliau lagi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home