Scroll images by bigoo.ws

Saturday, February 18, 2006

Kejutan baru Abu Ghraib

WASHINGTON: Hampir dua tahun selepas gambar seksaan kejam dan memalukan terhadap tahanan Iraq di penjara Abu Ghraib tersiar, had sebenar penderaan itu didedahkan berikutan kebocoran laporan siasatan dalaman tentera Amerika Syarikat (AS) mengenainya.

Katalog penderaan juga diperoleh majalah internet, Salon, tiba pada saat paling sukar pentadbiran Presiden George W Bush, menyusuli laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penderaan tahanan di Teluk Guantanamo selain penyiaran video tentera Britain memukul remaja Iraq dan kemarahan dunia Islam berhubung penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad.

Laporan akhbar The Guardian menyebut, bahan yang dikumpul agensi penyiasatan jenayah tentera termasuk 1,325 gambar dan 93 klip video tahanan yang didera, 546 gambar tahanan Iraq yang disyaki meninggal dunia serta 660 imej lucah dewasa dan 29 gambar tentera AS terbabit dalam tindakan menyerupai aksi seks.

Berdasarkan tarikh, semuanya direkodkan antara 18 Oktober dan 30 Disember, iaitu jangka waktu sama dengan skandal asal.

Laman web itu menyiarkan 18 gambar dari penjara berkenaan, selain imej penuh penghinaan – tahanan lelaki yang dipaksa berbogel melutut atau terbaring di atas lantai atau kepala disarungkan dengan seluar dalam wanita - mereka juga mendedahkan beberapa bentuk adegan pelik di penjara itu.

Satu gambar menunjukkan seorang anggota tentera berdiri tenang mengisi borang di dinding dan di belakangnya, berdiri seorang tahanan yang berbogel dengan kepalanya ditutup.

Satu gambar lagi menunjukkan Staf Sarjan Ivan Chip Frederick yang dibicarakan atas tindakannya dalam skandal penderaan itu memotong kuku di sebelah tahanan Iraq yang berdiri di atas kotak dengan memakai sarung kepala dan wayar elektrik.

Imej keganasan fizikal juga dipaparkan seperti sel yang berlumuran darah dan gambar mayat yang wajahnya dipukul berulang kali.

"DVD juga termasuk gambar pengawal mengancam tahanan Iraq dengan anjing, rakaman video sendiri menunjukkan tahanan yang kepala mereka ditutup dipaksa melakukan onani dan video menunjukkan seorang tahanan yang mentalnya terganggu menghantuk kepala ke pintu.
"Anehnya, bahan lain termasuk gambar haiwan yang disembelih dan imej tentera meronda di seluruh Iraq," menurut Salon yang menegaskan ia menerima bahan itu dari seorang anggota tentera yang pernah dipenjarakan.

Reaksi pertama Washington serta Baghdad ialah kebimbangan dengan impak gambar baru penderaan itu di Asia Barat ketika kemarahan terhadap Barat berada di puncak.

Jurucakap Pentagon berkata, pendedahan imej penderaan itu `hanya akan menyemarakkan kemarahan dan kemungkinan mencetuskan keganasan di dunia.'

0 Comments:

Post a Comment

<< Home