Scroll images by bigoo.ws

Saturday, February 18, 2006

Ribuan rakyat Kelantan demontrasi bantah akhbar Denmark

MARAK KEMARAHAN.... Bendera negara Denmark dibakar Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub pada demontrasi secara aman yang diadakan di Jalan Dato' Pati, Kota Bharu pagi tadi. Turut dibakar patung Presiden Amerika Syarikat, George W Bush. Ribuan penduduk Kelantan, termasuk Menteri Besarnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyertai demontrasi tersebut

KOTA BHARU, 17 Feb (Hrkh) - Ribuan rakyat Kelantan mengadakan demontrasi secara aman di Jalan Dato’ Pati pagi tadi, yang turut disertai Menteri Besar bagi menyatakan bantahan terhadap akhbar Denmark yang mempersendakan Nabi Muhammad saw melalui karikaturnya.

Demontrasi itu dimulakan sebaik sahaja selesai kuliah mingguan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dataran Ilmu, kira-kira jam 10.30 pagi. Ribuan penduduk yang mengikuti kuliah tersebut kemudian menyertai sama demontrasi.
Pelbagai sepanduk dipamerkan sebagai menyatakan perasaan kesal mereka antaranya berbunyi, "Boikot Barangan Denmark dan Sekutunya", "Jangan Beli Barangan Denmark", dan "America, Israel, Denmark and Allied, Don’t Be Grate Our Massenger We’re Willing To Die For Islam".

Demontrasi itu dimulakan dengan ucapan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Mohd Nasir Mat Soh, Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian, Mohd Nuri Yaakob, Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu, Ustaz Baharuddin Mohd Noor, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Zulkifli Mat Yusof, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Mohd Zaki Ibrahim, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub dan Menteri Besar.

Laungan takbir bergema berkali-kali pada perhimpunan itu. Suasana lebih bersemangat apabila Baharuddin membaca doa wehdah. Di akhir perhimpunan Tuan Guru Nik Abdul Aziz membaca doa dengan diaminkan ribuan yang hadir.

Pada sidang media selepas itu, Salahuddin berkata, biar pun Malaysia menjadi pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC), namun lambat bertindak bagi menyatakan bantahan terhadap kebiadaban akhbar di Denmark.

Katanya, negara-negara Islam lain mendahului Malaysia, biar pun Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Pengerusi OIC.

"Sebagai Pengerusi OIC kita tidak boleh duduk diam dan mesti berbuat sesuatu bagi menyatakan bantahan. Kita marah kerana pemimpin negara membisu biar pun negara Barat mempersendakan agama Islam," katanya.

Sebelum ini, ribuan pelajar Maahad Muhammadi Lelaki mengadakan demontrasi bagi membantah kebiadaban akhbar Denmark. Jumaat lalu puluhan ribu menyertai demontrasi di Kuala Lumpur yang diketuai Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

0 Comments:

Post a Comment

<< Home