Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, February 15, 2006

Serang nuklear Iran bakal cetus perang panjang

LONDON 13 Feb. - Serangan udara Amerika Syarikat (AS)terhadap kemudahan nuklear dan tentera Iran dijangka meragut ribuan nyawa, mencetuskan perang berpanjangan dan mendorong Iran mempercepatkan program senjata nuklearnya.
Sebuah kumpulan penganalisis British meramalkan senario itu dalam satu laporan yang disiarkan hari ini.
Oxford Research Group yang mengkhusus dalam isu kawalan senjata termasuk senjata nuklear menyatakan, tindakan ketenteraan terhadap Iran sama ada oleh AS atau Israel bukan satu pilihan yang patut dipertimbangkan dalam apa jua keadaan.

Pentadbiran Presiden George W. Bush enggan menolak kemungkinan tindakan ketenteraan diambil jika Iran tidak akur dengan usaha diplomatik antarabangsa untuk menyekat program nuklearnya.

Iran mendakwa programnya hanya untuk menjana tenaga elektrik tetapi AS menuduh Teheran mahu membina senjata atom.

Laporan yang disediakan oleh Profesor Paul Rogers dari Universiti Bradford itu menyatakan, serangan AS dijangka melibatkan serangan udara serentak terhadap lebih 20 kemudahan utama nuklear dan tentera dengan tujuan untuk melumpuhkan keupayaan nuklear dan pertahanan udara Iran.

Program

Serangan seumpama itu dijangka membunuh beberapa ribu orang termasuk askar, kakitangan program nuklear dan ratusan orang awam, katanya.

Menurut laporan itu, tindakan ketenteraan akan mendorong Iran menarik diri daripada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), mempercepatkan program nuklearnya dan meningkatkan bantuan kepada kumpulan gerila di Iraq dan pergerakan Hizbullah di Lebanon.

Selain itu serangan tersebut juga akan memarakkan lagi sentimen anti- Amerika di serata dunia.

Konfrontasi ketenteraan yang meningkat akan menarik penglibatan negara lain di Asia Barat, sekali gus mencetuskan konflik berpanjangan dan tidak menentu.
''Keadaan perang yang berlarutan selama bertahun-tahun akan wujud,''
menurut kumpulan itu.

Israel yang memiliki senjata nuklear menganggap Iran sebagai ancamannya yang terbesar dan menyokong dakwaan Washington bahawa Teheran cuba membina senjata nuklear.

Menteri Pertahanan Israel, Shaul Mofaz berkata bulan lepas, Israel menjalankan persiapan untuk melancarkan tindakan ketenteraan jika usaha diplomasi gagal.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home