Hamas henti perjuangan selepas Yahudi undur
MOSCOW: Hamas hanya akan menamatkan perjuangan menentang Israel jika negara Yahudi itu berundur dari semua wilayah Palestin yang diceroboh, kata pemimpin kumpulan pejuang itu kepada akhbar Russia yang disiarkan semalam.
"Jika Israel mengiktiraf hak kami dan berjanji akan berundur dari semua tanah Palestin, Hamas dan rakyat Palestin bersama-sama akan menggantung perjuangan kami," kata Khaled Meshaal dalam temubual dengan akhbar Nezavisimaya Gazeta.
Dalam kenyataan awal, Meshaal hanya menyebut kesediaan Hamas mengadakan `gencatan senjata jangka panjang' dengan Israel jika rejim Zionis itu kembali ke sempadan 1967 dan mengiktiraf hak Palestin untuk menentukan masa depan sendiri.
Bagaimanapun, Meshaal menambah dalam kenyataan terbarunya bahawa Hamas tidak terikat dengan pelan damai Asia Barat kerana, pada pandangannya, tiada pihak berpegang padanya.
"Oleh kerana tiada siapa berpegang dengan kecenderungan pelan damai, jadi rakyat Palestin juga berasa tidak terikat kepadanya," kata Meshaal yang kini tinggal di Damsyik, ibu negara Syria.
Katanya, Hamas bersedia berbincang dengan sesiapa saja termasuk Amerika Syarikat (AS).
"Kami terbuka untuk mengadakan dialog dengan seluruh dunia. Hamas tidak menetapkan had mengenai hubungan dengan AS," katanya.
Hamas menang besar dalam pilihan raya Parlimen Januari lalu di Palestin tetapi berada dalam tekanan hebat antarabangsa untuk menamatkan perjuangan menentang Israel.
Minggu lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin, mencetuskan kontroversi dengan menjemput Hamas melawat Moscow untuk mengadakan rundingan mengenai masa depan proses damai Asia Barat, idea yang diterima baik pergerakan itu.
Meshaal berkata, jemputan untuk melawat Moscow oleh Putin adalah satu penghargaan besar bagi Hamas.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home