Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, February 15, 2006

Tiada pembaharuan dalam kabinet Abdullah

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Hrkh) - Rombakan kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi disifatkan hanyalah 'kabinet lama' yang mempunyai 'track record' yang boleh dipertikaikan seperti pengekalan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Samy Vellu dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz.

Timbalan Presiden PAS, Nasaruddin Mat Isa berkata, rombakan kabinet yang dibuat itu masih mengekalkan mereka yang tidak berkaliber dan berkeupayaan memberikan sesuatu yang baru kepada rakyat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rombakan kabinet yang dibuat agak lewat oleh Abdullah sebentar tadi.

Menurutnya lagi, apa yang dapat dilihat daripada rombakan itu hanya sedikit perubahan sahaja dan tidak nampak sebarang pembaharuan dalam kabinet.

Jelasnya, pertukaran itu juga tidak memberikan gambaran Abdullah melaksanakan hasratnya iaitu untuk menghapuskan gejala rasuah di kalangan mereka.

Mengulas mengenai beberapa bekas Menteri yang diserap semula beliau berkata, menteri-menteri terbabit tidak menunjukkan kebijaksanaan mereka sewaktu menjadi menteri tidak lama dahulu.

Dua timbalan menteri yang dinaikkan pangkat ialah Timbalan Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin yang dilantik sebagai Menteri Penerangan yang baru bagi menggantikan Dato' Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang meletakkan jawatannya.

Sementara itu, dua bekas menteri telah dilantik semula menganggotai kabinet baru Abdullah iaitu, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan yang menggantikan Dato' Dr Leo Michael Toyad dan Dato' Seri Dr Mohd Effendi Norwawi yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home