Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 14, 2006

Penyertaan Dato’ Rosli Ibrahim mantapkan parti - Pemuda

KOTA BHARU, 13 Feb (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Kelantan menyambut baik penyertaan bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Dato Ahmad Rosli Ibrahim bersama PAS bagi meneruskan usaha mendaulatkan Islam di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, penyertaan Ahmad Rosli yang juga bekas Adun Salor diharap dapat mengukuhkan lagi perjuangan memantapkan parti di peringkat akar umbi.

Katanya, bekas Adun terbabit mempunyai pelbagai kemahiran dan pengalaman diharap dapat dimanfaatkan dalam perjuangan PAS yang baru didokonginya sekarang.

"Kami Dewan Pemuda PAS negeri mengalu-alukan penyertaan Dato’ Rosli bersama PAS dan kami juga berharap pengalamannya sewaktu memimpin Semangat 46 dan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri dapat dimanfaat bersama PAS," katanya di sini.

Ahad lalu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengisytiharkan Ahmad Rosli bersama tiga lagi pemimpin Umno menyertai PAS. Mereka iaitu bekas calon Barisan Nasional (BN), Wan Ahmad Fuad Wan Abdullah, Asmari Che Ali dan Ibrahim Mamat.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, Senator Siti Zailah Mohd Yusof berkata, bekas Adun terbabit menyertai PAS tidak dipengaruhi tawaran pelbagai jawatan atau kebendaan.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Kelantan, Zamakhsari Ibrahim PAS beruntung mendapat ahli baru seperti Ahmad Rosli, memandangkan dia tiada rekod buruk sejak penglibatannya dalam politik.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home