Scroll images by bigoo.ws

Thursday, September 08, 2005

Disko Milik Pemimpin Umno Melaka Cetus Kemarahan Penduduk, DAP

Oleh OMAR SAIDI
MELAKA, 7 Sept (Hrkh) - Kewujudan sebuah disko yang turut menjual arak milik seorang pemimpin Umno Melaka telah menimbulkan kemarahan penghuni dan penduduk di sekitar Jalan Laksamana Melaka, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Disko itu yang beroperasi sehingga jam 2.00 pagi itu terletak di Bangunan Merah yang telah diwartakan sebagai kawasan bersejarah, katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui oleh wakil Harakahdaily di pejabatnya petang kelmarin.
Guan Eng berkata: "Kenapa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) boleh meluluskan lesen disko tersebut yang terletak di kawasan bangunan bersejarah."
Apa yang menghairankan, dakwa Guan Eng, lesen yang telah diluluskan oleh MBMB itu adalah kepunyaan salah seorang pimpinan Umno peringkat Negeri Melaka.

Guan Eng berkata bangunan yang telah diwartakan sebagai tempat bersejarah termasuk bangunan yang digunakan sebagai tempat disko telah diubah suai dengan menelan perbelanjaan sebanyak RM2 juta.

Beliau berkata setahunya agama Islam melarang orang Islam minum dan menjual arak, oleh itu beliau bertanya apakah Islam Hadhari Dato' Seri Mohd Ali Rustam (Ketua Menteri) berbeza dengan Islam Hadhari PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata kawasan bersejarah rumah kedai yang telah diisytiharkan tempat bersejarah tidak sesuai dijadikan tempat disko dan tari menari, apalagi tempat tersebut didiami oleh peniaga di situ.

Ketika tinjauan wakil Harakahdaily bersama-sama Guan Eng, seorang penduduk V Ashveen, 32, yang ditemui berkata beliau amat kesal kerana pihak-pihak yang terbabit tidak peka terhadap penghuni di kawasan sekitar.
Katanya lagi, keluarga beliau telah menetap di kawasan itu sudah hampir 50 tahun dengan menjalankan perniagaan tanpa ada apa-apa gangguan.

Kata beliau disko tersebut beroperasi sehingga jam 1.00 pagi pada hari biasa dan pada hari Sabtu dan Ahad beroperasi sehingga jam 2.00 pagi.
"Bunyi bising yang teramat kuat mengganggu penduduk di sekitar yang sedang tidur, kata beliau.
"Apa yang dikesalkan kadang-kadang mereka yang mengunjungi disko tersebut meletakan kenderaan mereka di sebelah kiri dan kanan jalan yang mengganggu lalu lintas," kata Ashveen.

Katanya, laporan telah dibuat kepada pihak polis, Majlis Bandaraya dan Jabatan Agama Islam tetapi tidak ada apa-apa tindakan yang telah dilakukan.

"Di mana letaknya moral seorang Ketua Menteri Umno yang membiarkan orang Islam Umno diberikan lesen perniagaan disko yang menjual arak?" tanya Guan Eng.

Tambahnya, petugas balai polis yang berhampiran tempat tersebut seolah-olah memejamkan mata dan memekakkan telinga apa yang berlaku terhadap disko tersebut yang dimiliki oleh orang kuat Melayu Umno, katanya.

Beliau berharap MBMB dan Jabatan Agama Islam bertindak tegas kepada pengusaha disko tersebut berbangsa Melayu beragama Islam. - lanh
Sumber : Harakahdaily

0 Comments:

Post a Comment

<< Home