Scroll images by bigoo.ws

Thursday, December 29, 2005

Allahyarham L/Kpl Mohammad bin Abdullah Selamat Dikebumikan

KUALA LUMPUR: “Saya menerima kenyataan apa yang berlaku,” kata isteri wira Everest, M Moorthy, 36, S Kaliammal ketika mengulas keputusan Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) memberikan hak mengebumikan jenazah suaminya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), semalam.
Apabila ditanya lagi, dia sekadar berkata: “Semuanya sudah selesai. Saya tidak mahu komen panjang.
”Kaliammal, 30, dihubungi Harian Metro malam tadi selepas sukar ditemubual wartawan di perkarangan mahkamah itu bagi mendapatkan reaksi keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Md Raus Sharif.
Bagaimanapun, abang Moorthy yang turut memeluk Islam, Muhammad Husin Abdullah, 46, bersyukur semua kekusutan sejak lapan hari lalu berjaya diselesaikan dengan baik.
“Saya bersyukur kerana akhirnya jenazah adik dapat disemadikan dan semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Cukuplah segala kekusutan yang berlaku sebelum ini, apa yang penting jenazah Moorthy atau nama Islamnya, Muhammad Abdullah yang meninggal sejak 20 Disember lalu selamat dikebumikan,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.Muhammad Husin yang memeluk Islam sejak 25 tahun lalu mengakui terkejut apabila mendapat tahu arwah adiknya sudah memeluk Islam.Katanya, dia tidak pernah dimaklumkan oleh arwah atau anggota keluarga lain berkaitan perkara berkenaan.“Saya mengetahui arwah beragama Islam melalui berita di televisyen. Pada mulanya saya terkejut dan selepas bertanyakan keluarga, mereka juga tidak mengetahui kerana tidak pernah dimaklumkan,” katanya yang menjalankan perniagaan sendiri.
Muhammad Husin anak kedua daripada 10 beradik itu berkata, anggota keluarga Moorthy menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan kepastian supaya tidak timbul lebih banyak kekeliruan.“
Keluarga hanya mahukan kepastian. Ini kerana semua orang seolah-olah tidak mempercayainya kerana arwah tidak pernah menyebut berkaitan keislamannya.“
Selepas mendapat semua maklumat dan bukti, barulah mereka puas hati. Anggota keluarga hanya mahu tahu perkara sebenar, itu saja,” katanya yang turut menafikan terdapat perasaan kurang senang terhadap keputusan mahkamah di kalangan anggota keluarga arwah.
Katanya, mereka tetap menghormati keputusan undang-undang.“
Kami menganggap perkara itu sudah selesai. Walaupun berlainan agama, kami tetap satu keluarga. Pertalian darah juga tetap ada dan sama,” katanya.
Jenazah Moorthy dibawa keluar dari rumah mayat HKL kira-kira jam 2.20 petang dan terus dihantar ke Tanah Perkuburan Islam Ibu Kota untuk disemadikan.
Hanya Muhammad Husin serta beberapa anaknya berada di HKL ketika urusan membawa keluar jenazah.
Upacara pengebumian dihadiri kira-kira 100 orang.Sementara itu, tiada sebarang kejadian berlaku di perkarangan mahkamah atau HKL.
Sumber dari Harian Metro 29 Dec 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home