Pisahkan agama, politik punca umat Islam dilanda masalah
KOTA BHARU, 12 Jan (Hrkh) - Masalah yang melanda umat Islam tidak dapat diselesaikan selagi wujud fahaman memisahkan agama dengan politik dalam kehidupan seharian.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, fahaman yang memisahkan agama dengan politik merupakan ajaran disebarkan ideologi Kristian bagi menyesat dan melemahkan umat Islam. "Selagi fahaman sesat ini masih wujud di kalangan umat Islam maka selagi itulah kesedaran untuk menjadikan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad saw sebagai panduan hidup akan terus dilupakan," katanya ketika menyampaikan khutbah Hari Raya Aidil Adha di Masjid Pulau Melaka, kelmarin. Beliau berkata, fahaman disebarkan dakyah Kristian itu menyebabkan ada umat Islam menganggap agama sekadar sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja, manakala perkara berkaitan pemerintahan, undang-undang, ekonomi serta sosial tiada kaitan. Menurutnya, hasil dakyah itu menyebabkan manusia mula melupakan soal akhirat, dosa dan pahala dalam menjalani urusan seharian dan kesan manusia mula hilang rasa takut terhadap pembalasan di akhirat.
"Akhirnya manusia hanya bertindak mengikut kehendak akal dan nafsu semata-mata tanpa berpandu kepada agama. Hasilnya dapat dilihat sekarang apabila manusia tidak lagi takut melakukan perkara mungkar seperti membunuh, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. "Kesannya juga bilamana wujud manusia membelakangkan al-Quran dan Sunnah. Selain itu lahirnya ajaran ‘black metal’ yang menular di kalangan muda-mudi kita hari ini," kata beliau.
Beliau juga berharap masyarakat Islam mengorbankan kepentingan nafsu untuk kembali menerima al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup. Tambah beliau juga Hari Raya Aidiladha disyariatkan Allah supaya umat Islam sentiasa ingat terhadap sejarah pengorbanan para Nabi dan Rasul serta para sahabat yang berkorban nyawa, harat dan segala-gala demi menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Katanya, biar pun Hari Raya merupakan hari bersukaria bersama keluarga, namun jangan dilupa kezaliman Yahudi terhadap umat Islam di Palestin dan kekejaman Amerika di Iraq.
"Sebagai orang beriman jangan sesekali lupa akan penderitaan dialami umat Islam di tempat lain yang terpaksa menyambut Aidil Adha dalam suasana serba kekurangan," katanya. Pada sambutan Hari Raya, Menteri Besar turut mengorbankan dua ekor lembu. Manakala tiga ekor lagi dikorbankan di Banggol Chicha, Pasir Mas bagi meraikan penduduk tempatan di kawasan tersebut.
sumber dari pas-network@yahoogroups.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home