Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, February 08, 2006

Lagi bantahan terhadap penyiaran karikatur menghina Nabi Muhammad

Bantahan terus disuarakan di Malaysia dan negara lain berhubung penyiaran kartun yang menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam akhbar-akhbar di beberapa negara Eropah.Sebanyak 12 karikatur yang memaparkan imej Nabi Muhammad s.a.w, yang pertama kali disiarkan oleh akhbar Jyllands-Posten di Denmark pada September tahun lepas dan kemudian diulang siar dalam akhbar-akhbar di beberapa negara lain, telah menimbulkan kemarahan dan kesedihan
di kalangan jutaan umat Islam di seluruh dunia.

Dua persatuan pengguna - Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) - menggesa semua rakyat Malaysia memboikot produk dan perkhidmatan Denmark.Presiden CASSA Datuk Jacob George berkata CASSA merakamkan rasa kecewa dan bantahan dan turut serta dengan penduduk yang cintakan keamanan dalam mengutuk perbuatan akhbar Denmark itu yang menyiarkan kartun yang menghina Nabi Muhammad S.A.W.

George berkata bagi rakyat Malaysia yang sensitif, menghormati, bijak dan bertamadun tahu bahawa Islam mencegah sebarang ilustrasi yang menyerupai Nabi Muhammad, sama ada dengan maksud baik atau sebaliknya dan menurutnya "kerajaan Denmark patut meminta maaf
kepada umat Islam di seluruh dunia."
"Selama ini kita beranggapan bahawa mereka mempunyai dasar jabatan pengarang yang memantau sebarang pencabulan dan sensitiviti terhadap semua agama dan kepercayaan, tetapi dalam kes ini mereka tidak berbuat demikian dan adalah penting bagi kita untuk memaklumkan rasa kesal dan kecewa kita berhubung tindakan melampau itu yang tidak boleh diterima langsung," katanya.

Koordinator Projek PPIM Noor Nirwandy Mat Noordin mendesak kerajaan Denmark meminta maaf kepada umat Islam di seluruh dunia dan menggesa kerajaan Malaysia menghantar nota bantahan kepada Kedutaan Denmark.Beliau berkata persatuan itu sedang menyenaraikan semua produk Denmark yang dijual di negara ini, kebanyakannya produk tenusu seperti keju, mentega dan susu untuk diboikot oleh orang ramai.Katanya sebagai pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), adalah menjadi tanggungjawab Malaysia membantah sebarang tindakan yang dianggap sebagai menghina Nabi Muhammad dan Islam.Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan Malaysia mengadakan kursus agama untuk pegawai kedutaan asing tentang kesucian Islam dan sensitiviti penganutnya terhadap kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w.

Kedutaan Denmark juga patut minta maaf pada kerajaan Islam Malaysia, kata Presidennya Yusri Mohamad.Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut menggesa
rakyat negara ini memboikot produk Denmark dan menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan Denmark dan Norway.

"Ini barangkali usaha provokatif mereka untuk menaikkan kemarahan umat Islam. Apabila umat Islam bertindak di luar kawalan, mereka mudah menuduh umat Islam sebagai pengganas. Inilah yang mereka idamkan," kata Setiausaha Agung PKPIM Mohd Hilmi Ramli.Sikap lembut dan terbuka memang diajar oleh Islam tetapi penganut Islam yang tidak didasari dengan ketegasan akan menghancurkan agama mereka sendiri, katanya.

Di JAKARTA, Mohd Nasir Yusoff melaporkan sekumpulan daripada Front Pembela Islam dan Majlis Mujahidin Indonesia dilihat berhimpun di depan sebuah bangunan di Jalan Mega Kuningan, tempat terletaknya Kedutaan Denmark. Kebanyakan mereka memakai jubah putih dan kopiah, dan mereka turut disertai oleh ramai lagi daripada pertubuhan lain yang turut berucap mengutuk tindakan menyiarkan karikatur Nabi Muhammad itu.

"Kita tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan ini dan ia bukannya yang pertama kali mereka berbuat demikian kepada Islam," kata seorang penceramah, mendesak media di Denmark, Perancis dan Norway yang menyiarkan karikatur itu meminta maaf kepada umat Islam di Seluruh dunia.
Sementara itu, Nahdlatul Ulama, pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, berkata penyiaran karikatur itu jelas menimbulkan kemarahan umat Islam tetapi mengingatkan mereka agar tidak melakukan sebarang tindakan fahaman anarki dalam menghadapinya.Pemimpinnya Masdar Farid Masudi berkata umat Islam di seluruh dunia tidak harus terdorong untuk melakukan tindakan mengikut emosi tetapi sebaliknya patut bertenang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home