Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 07, 2006

Kutuk akhbar siar karikatur hina Rasulullah

MARANG, 30 Jan (Hrkh) – Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengutuk sekeras-kerasnya sebuah akhbar Denmark yang menyiarkan karikatur menghina Rasulullah.

“Bagi pihak PAS, saya mengulangi sekali lagi kita mengutuk dengan sekeras-kerasnya dan insya Allah kita akan bersama dengan semua kumpulan Islam bagi menentang arus yang sangat jahat ini,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rusila, hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas karikatur dalam sebuah akhbar Denmark, Jyllands-Posten baru-baru ini yang menggambarkan Rasulullah s.a.w. sebagai pengganas.
Menurutnya, perkara seperti itu sepatutnya tidak berlaku dalam negara yang dikenali menghormati hak-hak asasi manusia termasuk umat Islam.

Tegasnya, umat Islam menghormati orang yang menghormati mereka.

“Dalam masa yang sama, umat Islam tidak boleh bertolak ansur kepada mereka yang mempersendakan agama mereka yang mereka yakini daripada Allah dan nabi mereka yang mereka yakini dilantik oleh Allah SWT,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang menjadi organisasi kepada negara umat Islam supaya mengambil satu langkah yang tegas.

Tambahnya, dalam masa yang sama, PAS juga mendesak pertubuhan-pertubuhan Islam supaya berpadu dalam menghadapi isu yang sangat menyentuh keperibadian umat Islam itu.
“Kita merasakan bahawa tindakan itu adalah menconteng, satu penghinaan kepada umat Islam yang tidak boleh diizinkan oleh sesiapapun terutama dalam negara yang mengamalkan demokrasi,” katanya lagi.

PAS juga, tegasnya mendesak supaya pihak yang berkenaan meminta maaf kepada umat Islam dan mengaku kesilapan mereka.

“Kita juga mendesak negara yang berkenaan supaya menggunakan kuasa pemerintahannya melakukan tindakan yang sewajarnya bagi memelihara hubungan yang baik dengan umat Islam,” ujarnya.

Pada 24 Januari lalu, Majlis Menteri-menteri Kerajaan Arab Saudi selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Pemangku Raja, Putera Sultan di Istana Yamamah, Riyadh dilaporkan mengecam akhbar yang menyiarkan karikatur itu kerana boleh mencetuskan kemarahan umat Islam.

Melalui kenyataan yang sama, Pengerusi Majlis Syura, Dr Saleh Bin Humaid turut mengutuk akhbar itu kerana ia boleh mencetuskan rusuhan kaum.

Dalam perkembangan terbaru, Libya dilaporkan menutup pejabat kedutaannya di Copenhagen sebagai membantah tindakan yang biadap itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home