Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 07, 2006

DEMO BANTAH HINA NABI JUMAAT INI

Dipetik dari Harakahdaily
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri akan turun menyertai perhimpunan yang bakal bermula di Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur itu.
KUALA LUMPUR, 7 Feb (Hrkh) - PAS mengajak umat Islam, tanpa mengira fahaman politik, membantah penghinaan terhadap Nabi Muhamad SAW yang dimulakan oleh sebuah akhbar Denmark dengan berhimpun di perkarangan kedutaan itu di Wisma Denmark selepas sembahyang Jumaat ini. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri akan turun menyertai perhimpunan yang bakal bermula di Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur sebaik sahaja selesai Solat Jumaat itu.
Demikian kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa kepada Harakahdaily hari ini."Marilah kita semua umat Islam, tanpa mengira fahaman politik dan kedudukan berkumpul bagi menyatakan bantahan terhadap penghinaan yang dibuat terhadap Junjungan Besar kita Nabi Muhamad SAW," kata Nasharudin dalam kenyataan itu.Bantahan ini, kata Nasharudin, juga ditujukan kepada akhbar Sarawak Tribune yang turut menyiarkan karikatur yang menghina Rasulullah itu.Akhbar Sarawak Tribune adalah akhbar pertama di negara ini yang menyiarkan semula sebahagian dari 12 karikatur yang mula disiarkan akhbar Denmark, Jyllands-Posten September lalu.
Ekoran itu, Editor bertugasnya telah meletakkan jawatan dan permohonan maaf telah disiarkan oleh akhbar itu keesokan harinya. Selepas Jyllands-Posten, akhbar-akhbar di Eropah mula menyiarkan semula karikatur itu atas alasan kebebasan media.
Bantahan demi bantahan mula dibuat oleh umat Islam di seluruh dunia.Di Afghanistan seorang pembantah mati apabila ditembak oleh pihak berkuasa. Bantahan paling hebat berlaku di Syria, Yaman dan Lebanon.
Di Mesir dan Indonesia serta London, bantahan juga turut dilakukan.Islam telah meletakkan tindakan melukis gambar Rasulullah SAW adalah haram apatah lagi bertujuan menghina sebagaimana yang dilakukan oleh akhbar Denmark itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home