Scroll images by bigoo.ws

Sunday, February 26, 2006

Hanya agama mampu kawal nafsu buas manusia - MB

PENGKALAN CHEPA, 25 Feb (Hrkh) - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan hanya agama yang dapat mengawal nafsu manusia kerana mereka mampu membezakan di antara perbuatan halal dan haram.

"Nafsu ada yang baik dan buruk. Tetapi untuk mengawal nafsu yang buruk hanya agama sahaja ubat yang mujarab. Kita adalah hamba Allah, bukan rakyat Allah. Jadi sebagai hamba kena ikut segala suruhanNya.

Berucap merasmikan Himpunan Peserta Kem Kenegaraan 2005 pelajar-pelajar sekolah agama, di sini malam semalam katanya, hanya mengingatkan dosa dan pahala sahaja manusia dapat mengawal nafsu.

Katanya juga, biar pun di atas dunia ada polis bagi mengawal manusia, namun masih ramai melakukan jenayah kerana mereka tidak mengambil pertimbangan soal dosa dan pahala.
Sementara itu, anggota Exco kerajaan negeri, Abdul Patah Mahmood berkata, peserta yang mengikuti program kenegaraan perlu mempunyai jati diri yang baik sehingga boleh menjadi pemimpin kepada rakan sebaya.

Katanya, mereka boleh membimbing rakan-rakan sebaya dengan menghebahkan mengenai kecantikan Islam sebagai 'role model' terbaik bagi kehidupan umat manusia. "Namun bagi mencapai matlamat itu, peserta mesti mendekat diri dengan Allah dan menjahui perkara-perkara yang ditegah agama," katanya.

Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Abdullah Mat Yusof berkata, program berkenaan diadakan bagi melahirkan remaja yang bertanggungjawab, mantap dan mampu memimpin masyarakat ke jalan yang benar.

Program selama dua hari itu diadakan di Kem Kijang Pantai Cahaya disertai 350 pelajar sekolah YIK dari seluruh Kelantan. Hadir sama Pengarah Urusetia Wanita, Belia dan Sukan, Haji Abdul Aziz Yunus, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Sekolah YIK, Ustaz Mohamad Ya dan Penolong Pengarah Bahagian Kenaziran, Ustaz Wan Roslan Wan Hamad.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home