Scroll images by bigoo.ws

Sunday, February 26, 2006

Polis tangkap pemimpin pembangkang Filipina

MANILA 25 Feb. - Polis menangkap ahli Kongres pembangkang Filipina, Crispin Beltran dan seorang bekas jeneral polis hari ini, sehari selepas Presiden Gloria Macapagal Arroyo mengisytiharkan keadaan darurat bagi menangkis ancaman rampasan kuasa.

Beltran yang mengetuai perikatan berhaluan kiri, Bayan Muna ditangkap di kediamannya di pinggir kota ini.

Bekas jeneral polis, Ramon Montano ditangkap ketika sedang bermain golf di sebuah wilayah di selatan Manila apabila polis menahannya untuk disoal siasat.

Polis juga cuba menangkap dua lagi anggota Kongres Bayan Muna, Rafael Mariano dan Satur Ocampo semasa sidang media di sebuah hotel tetapi mereka berjaya melarikan diri, kata jurucakap Mariano, Jim Fernandez.

Polis turut melancarkan serbuan terhadap pejabat sebuah akhbar yang kerap mengkritik kerajaan Arroyo.

Mereka memasuki pejabat The Daily Tribune sejurus selepas tengah malam tadi dan merampas bahan editorial serta seikat surat khabar yang menyiarkan perisytiharan darurat itu.

''Kami diserbu. Mereka nampaknya datang tanpa membawa waran geledah,'' kata penerbit Daily Tribune, Ninez Cacho Olivarez.

Tindakan itu diambil pada hari ulang tahun ke-20 kejatuhan Ferdinand Marcos.

Arroyo dikecam hebat hari ini oleh pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh terkemuka Filipina.

Bekas Presiden, Fidel Ramos yang pernah mengetuai angkatan tentera Filipina memberi amaran langkah tersebut akan menjejaskan negara ini.

Saya bukan sahaja terkejut tetapi juga kecewa dengan perisytiharan itu,'' kata Ramos.

Beliau berpendapat langkah itu tidak wajar kerana tidak ada rampasan kuasa yang berlaku dan menganggap Arroyo telah bertindak secara keterlaluan.
sumber dari http://www.utusan.com.my ( Ahad / 26 Februari 2006 )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home