PM kata kes NST selesai, PAS tidak puas hati
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyifatkan kes kartun menghina Nabi dalam akhbar NST selesai selepas akhbar itu menyiarkan permohonan meminta maaf hari ini namun PAS tidak berpuas hati dengan pendirian Perdana Menteri itu bahkan setuju cadangan tindakan yang diberikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.
Abdullah dalam kenyataannya kepada wartawan di Pulau Pinang hari ini berkata isu kartun yang didakwa menghina Nabi dalam NST selesai selepas akhbar itu memohon maaf dan tidak akan ada sebarang tindakan lagi akan diambil ke atas akhbar atau kakitangannya.
Tetapi Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Awang selepas mengetahui pendirian Perdana Menteri itu melahirkan rasa kesal dan marahnya.
"Mana boleh selesai begitu sahaja. Selepas ini sapa-sapa saja boleh membuat perkara yang sama. Lepas itu minta maaf dan selesai," kata beliau kepada Harakahdaily.
Beliau lebih bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mencadangkan agar tindakan perlu diambil kepada petugas akhbar berkenaan yang membuat salah dan bukannya menghukum akhbar itu sebagaimana dibuat ke atas Sarawak Tribune.
"Tulisan permohonan maaf oleh NST juga nampak sangat tidak ikhlas dan masih mempertahankan kartun itu. Aku tak salah, oleh kerana kamu rasa aku salah, aku minta maaflah. Itu bentuk minta maaf NST. Mana boleh macam tu," kata Ahmad Awang.
Pengarang NST ceria
Sementara itu, Harakahdaily dimaklumkan, Timbalan Pengerusi NSTP Dato' Kalimullah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP masuk ke pejabat mereka pagi tadi dengan penuh ceria dan gembira.
"Boleh jadi mereka sudah tau apa yang PM akan kata pagi ini," kata satu sumber dari pejabat NST.
Maaf, maaf...selesai
Sementara itu, di Pulau Pinang, Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hassan Ali dalam kenyataannya mengingatkan kerajaan negara ini agar jangan terlalu senang menerima perkataan 'maaf' dari mana-mana akhbar yang sengaja mengganggu sentiviti umat Islam selepas menyiarkan karikator walaupun berbentuk sinis terhadap Islam. Ketika di temui selepas menyampaikan kuliah di Sungai Lokan, Butterworth, beliau berkata, perkataan 'maaf' seolah dipermainkan sekarang ini ekoran ketidak telusan tindakan yang diambil oleh kerajaan selama ini.
'Bila buat salah minta maaf, lepas itu akhbar lain pula meniru langkah serupa. Apa ni, mana dia Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) yang kononnya akan mengenakan tindakan seadilnya, " tegas beliau.
Sebelum ini, Sarawak Tribune dan Guang Ming Daily digantung permit kerana menyiarkan kartun yang menghina Nabi tetapi RTM 2 dan TV3 yang menyiarkan kartun yang sama sehingga kini tidak diambil sebarang tindakan.
Langkah akhbar NST menyiarkan kartun lain yang sinis terhadap mereka yang membantah penghinaan terhadap Rasulullah pula selesai hanya dengan memohon maaf sahaja walaupun permohonan maaf itu berbelit-belit dengan mempertahankan diri seolah-olah mereka tidak bersalah.
sumber dari http://www.harakahdaily.net/
0 Comments:
Post a Comment
<< Home