Scroll images by bigoo.ws

Thursday, February 23, 2006

Hina Nabi, NST disyaki ada agenda tersembunyi?

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) - Akhbar New Straits Times Press (NSTP) dilihat semakin jelas mempunyai satu agenda kerana disyaki dengan sengaja berniat menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w, tegas Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Dakwaan itu berasaskan kepada tindakan akhbar itu berulang kali menyiarkan karikatur membabitkan sensitiviti umat Islam.

Pertamanya, pada 20 Februari lalu menyiarkan karikatur Nabi Muhammad s.a.w dan pada 21 Februari pula menyiarkan karikatur bahtera Nabi Noh (a.s). Sikap tidak bertangungjawab dan biadap akhbar berkenaan tidak boleh dibiarkan khasnya oleh umat Islam, tegasnya.

"Mereka perlu meminta maaf secara terbuka.Semalam kami telah membuat laporan polis mengenai karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w dan hari ini mengenai lakaran kartun bahtera nabi Noh pula," katanya ketika mengadakan sidang media di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, dekat sini hari ini.

Sidang media tersebut turut dihadiri Timbalannya, Ustaz Idris Ahmad; Naib Ketua Pemuda PAS, Mazlan Aliman dan Setiausaha Pemuda PAS, Ahmad Sabki Yusuf.

Pada pukul 11.00 pagi tadi (22 Februari) satu surat desakan difakskan kepada Ketua Pengarang Kumpulan NST, Dato' Hishamuddin Aun supaya pengurusan NSTP meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam dalam tempoh 24 jam, katanya.

Beliau memberi amaran, jika akhbar tersebut tidak meminta maaf, Dewan Pemuda PAS Pusat akan terus mengerahkan seramai mungkin orang termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat di hadapan bangunan NSTP pada 24 Februari ini.

"Saya amat kesal dengan kenyataan yang dibuat pihak NSTP dalam jawapannya hari ini yang secara nyata meletakkan kesalahan itu dengan mengaitkan kesalahan tersebut sebagaimana dilakukan akhbar Sarawak Tribune dan akhbar Guang Ming Daily daily,

"Sepatutnya NSTP belajar dari kesilapan ini dan dalam laporan polis semalam saya menyatakan bahawa semua akhbar di negara ini perlu belajar dengan apa yang berlaku di Denmark yang mencetuskan satu siri kemarahan umat Islam sehingga hari ini dan saya apa yang dikesal lagi, perkara tersebut berlaku di negara kita dan terus diulangi oleh NSTP," katanya.

Isu ini juga akan dilanjutkan kepada kerajaan iaitu Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan beliau berharap Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menangani isu ini dengan tegas, katanya lagi.

Sementara itu Pengerusi Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Haji Mahfuz Omar pula mendesak KKDN segera menggantung permit penerbitan dan cetak NST.
"Bagi saya kebiadapan NST ini perlu diajar, bukan hanya gantung dua bulan seperti yang dikenakan ke atas Guan Ming Daily, tetapi seharusnya enam bulan bagi mengajar kebiadaban mereka ini,"katanya ketika dihubungi selepas pulang dari Australia hari ini.

Beliau juga mengesyaki ada satu agenda tersembunyi di sebalik penyiaran karikatur itu yang didakwa sebagai agenda 'rakan kongsi NST' dari negara seberang, katanya.

Akhbar berbahasa Inggeris itu didakwa dengan sengaja menyiarkan karikatur yang menghina Islam di mana dihasilkan oleh pelukis yang sama iaitu Wiley Miller.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home