Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, February 22, 2006

Umno cuba sempitkan minda rakyat – TG Nik Aziz

KOTA BHARU, 22 Feb (Hrkh) – Islam di bawah teraju Umno di negara ini dianggap semakin hari tambah tidak bermaya memandangkan rakyat disempitkan minda melalui proses "brain washing" yang panjang.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Islam dalam versi Umno adalah di luar dari kerangka sebenar yang diumpan dengan sekularisme kepada rakyat.

"Belia dan remaja kita disogok pula dengan faham kebangsaan lanjutan melalui Program Latihan Khidmat Negara. Proses indoktrinasi seterusnya bersambung dengan kem-kem Bina Negara dan berakhir dengan akujanji bagi setiap anggota penjawat awam.

"Lalu dari atas loteng kuasa, satu jala besar OSA, ISA, Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan lain-lain. Di tangan sekumpulan pemimpin nasionalis, Malaysia dipandu oleh ‘drebar-drebar’ yang tidak berlesen," katanya dalam tulisan terbarunya, hari ini. (ikuti tulisan lanjut dalam ruangan rencana).

Beliau berkata, Umno meninggalkan roh dan cuma mementingkan jasad, sedangkan sepatutnya Islam diterima dengan iman, roh dan badannya. "Iman untuk roh manakala syariat Islam untuk mengatur tubuh badan dan kehidupan.

"Sebarang pembangunan wajib mengandungi komponen ini. Malangnya Malaysia dipimpin oleh orang yang keliru dan mengelirukan. Kemudian Umno dianjur oleh pemimpinnya untuk bercakap mengenai Islam dalam keadaan yang dia sendiri tidak faham," katanya.

Beliau juga berkata, kekeliruan dapat dilihat apabila Perdana Menteri selaku Pengerusi OIC tidak bersetuju dengan langkah pemboikotan barangan Denmark, sedangkan hampir seluruh anggota OIC menyatakan protes ekoran penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut beliau yang juga Mursyidul Am PAS, rakyat di negara ini semakin terkejut ekoran pendedahan Mufti Perak, Dato’ Harussani Zakaria terdapat seramai 250,000 orang Islam yang murtad di seluruh negara.

"Inilah bencananya apabila Malaysia dipimpin oleh sebuah parti kebangsaan yang meninggalkan Islam," ujarnya

0 Comments:

Post a Comment

<< Home