Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, February 22, 2006

Wang siapa bayar Abramoff, Dr Mahathir?

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Hrkh) - Kalau wang kerajaan tidak digunakan untuk membayar pelobi Jack Abramoff bagi membolehkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu Presiden George Bush Mei 2002 lalu, wang siapa?

Itulah persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengesahkan sebanyak AS$1.2 juta (kira-kira RM4.6 juta) telah dibayar untuk melobi pertemuannya dengan Bush tetapi menafikan wang itu adalah wang kerajaan.

Lim juga mempersoalkan, jika wang kerajaan tidak digunakan, bagaimanakah mereka dari "sektor swasta" dibayar balik atau mendapat ganti rugi bagi aktiviti-aktiviti melobi mereka dan siapakah mereka?

Dr Mahathir, katanya, mestilah bercakap benar kerana tidak ada siapa yang percaya beliau tidak tahu mengenai operasi sulit menggunakan Abramoff untuk mengatur pertemuan itu dan sumber wang RM4.6 juta untuk membayar pelobi Yahudi itu.

Bahkan beliau juga meminta dijelaskan, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertemu Bush pada 19 Julai 2004, berapa banyak wang yang telah dibayar untuk melobi pertemuan itu dan adakah dibayar secara langsung oleh kerajaan atau secara tidak langsung oleh sumber-sumber bukan kerajaan serta siapakah pelobi yang ditugaskan untuk melaksanakannya?

Lim juga mendedahkan anak didik Dr Mahathir, iaitu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid bin Megat Ayob dinamakan oleh media-media antarabangsa sebagai tokoh utama yang mengetuai usaha-usaha sulit untuk mengatur pertemuan dengan Bush melalui bantuan Abramoff yang kini menghadapi tuduhan rasuah dan menipu.

Beliau juga menggesa Megat Junid yang juga bekas Ketua Penerangan Umno supaya tampil untuk menjelaskan peranannya dalam pembayaran RM4.6 juta bagi mengatur pertemuan Dr Mahathir dengan Bush itu

0 Comments:

Post a Comment

<< Home