Hishammuddin mahu tindakan tegas ke atas RTM
PUTRAJAYA, 26 Feb (Hrkh) - Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu tindakan yang tegas diambil ke atas Radio Televisyen Malaysia (RTM) kerana menayangkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad s.a.w. menerusi siaran Berita Mandarin di saluran TV2 pada 3 Februari lepas.
Sambil menyifatkan tindakan RTM itu sukar untuk dipertahankan, Ketua Pemuda Umno itu berkata, penayangan karikatur itu merupakan satu tindakan yang tidak wajar dan tindakan yang tegas harus diambil.
"Sekiranya karikatur itu adalah karikatur asal yang sebelum ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia, bagi saya susah mereka (RTM) dapat mempertahankan diri mereka.
"Susah juga untuk saya mempertahankan RTM sendiri," kata beliau.Beliau mahu mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menapis dan menentukan apa yang disiarkan oleh RTM disiasat.
"Siasatan yang dijalankan akan menjadi satu pengajaran supaya tidak mengambil mudah perkara yang berhubungkait dengan agama dan isu perkauman," katanya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terdahulu dipetik sebagai berkata pengurusan RTM akan dipanggil bagi membuat penjelasan berhubung penayangan karikatur tersebut.
Najib berkata perkara itu perlu disiasat secara mendalam memandangkan ia telah sampai ke pengetahuan kerajaan.
New Straits Times (NST) mendedahkan RTM menerusi siaran Berita Mandarin di saluran TV2 pada 3 Februari lepas menayangkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW dan telah menyerahkan salinan program berita itu kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Khamis.
Zam dulu lantang
Zam dulu lantang
Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin, yang sebelum ini begitu lantang mengecam NST kerana menyiarkan kartun yang mempersendakan Nabi, enggan memberikan apa-apa ulasan selain, "Saya tak mahu kata begitu" ketika ditanya mengenai tindakan RTM itu.
Apabila terus ditanya, beliau berkata, apa yang telah berlaku dalam masa yang singkat itu telah menyedarkan lagi semua pihak mengenai "kebebasan akhbar yang bertanggungjawab".
"Kita belajar dan terus belajar mengenai kebebasan akhbar. Kita dah ada dah (tapi) kadang-kadang kita lupa," katanya.
Selain RTM, TV3 dan ntv7 juga dilaporkan menayangkan kartun menghina Nabi itu.
sumber dari http://www.harakahdaily.net
0 Comments:
Post a Comment
<< Home