Scroll images by bigoo.ws

Saturday, February 11, 2006

Pelajar demontrasi, solat hajat bantah ‘kebiadaban’ Denmark

KOTA BHARU, 9 Feb (Hrkh) – Kemarahan terhadap karikatur yang cuba mempersendakan Nabi Muhammad saw kini merebak ke sini, apabila ribuan pelajar berdemontrasi membantah kebiadaban akhbar di Denmark dan beberapa negara Barat.

Selain itu, pelajar Maahad Muhammadi Lelaki menunaikan solat hajat yang diimamkan pengetuanya, Ustaz Haji Rosli Ismail. Bendera Denmark, Israel dan Amerika Syarikat dibakar pada demontrasi secara aman di padang sekolah itu pagi tadi.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim mengajak rakyat di negara ini memboikot barangan keluaran Denmark dan mana-mana negara yang cuba mempersendakan Nabi Muhammad saw melalui karikatur.

Katanya, melalui cara itu boleh memberi pengajaran kepada mana-mana pihak yang cuba menghina agama Islam. "Rakyat negara ini harus memboikot dan memulau barangan yang diimport dari Denmark atau pun mana-mana negara Eropah yang menyokong tindakan akhbar di Denmark.

"Apabila mereka menghina Nabi saw dengan kartun yang dilukis, secara tidak langsung mereka telah menghina agama Islam. Oleh yang demikian wajarlah kita bersatu menentang pihak yang cuba menghina Islam," katanya pada perhimpunan terbabit. Barangan yang dikeluarkan negara Denmark ditulis #57 pada 'bar code'. Manakala barangan Israel bernombor #729.

Beliau juga berkata, akhbar negara Barat mempunyai kecederungan bagi menggambarkan orang Islam sebagai ganas apabila mereka cuba membangkitkan perkara-perkara sensitif mengenai Islam.

Menurut beliau juga Malaysia sebagai pengerusi Negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tidak mengambil tindakan segera bagi membantah perbuatan biadap akhbar di Denmark. “Ini kerana pemimpin negara dianggap tidak mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap Islam sehingga memberi ruang yang luas pihak Barat mempersendakan agama sendiri,” ujarnya.
Rosli berkata, demontrasi secara aman itu diadakan sebagai menggambarkan kepekaan yang tinggi pelajar-pelajar sekolah agama di negeri ini terhadap pihak yang cuba mempersendakan Nabi Muhammad saw.

Malah menurutnya, bantahan secara aman itu menggambarkan kepada dunia, Islam tidak sukakan kepada keganasan.

Pengerusi Majlis Perwakilan Pelajar Maahad Lelaki, Aslahuddin Ashaari berkata, demonstrasi secara aman diadakan bagi menzahirkan bantahan terhadap tindak tanduk tidak bertamadun negara Barat. "Walaupun umat Islam ramai, tetapi hanya segelintir yang sedar dan sanggup menentang apa yang berlaku sekarang,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home