Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 21, 2006

Tidak mahu mati mengaibkan - Osama

KAHERAH 20 Feb. - Pemimpin rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden menerusi satu rakaman yang disiarkan dalam sebuah laman web militan hari ini menegaskan, beliau tidak akan dapat ditangkap hidup-hidup oleh Amerika Syarikat (AS).

Sambil menyatakan bahawa taktik AS untuk menangkap beliau menyamai dengan apa yang digunakan terhadap bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein, Osama bersumpah mahu hidup sebagai seorang yang bebas.

''Jika pun saya terpaksa berhadapan dengan kematian, saya tidak mahu mati dalam keadaan mengaibkan ataupun diperdaya oleh mana-mana pihak,'' katanya dalam rakaman selama 11 minit dan 26 saat itu.

Merujuk kepada perbezaan tingkah laku tentera AS ke atas Iraq dan Saddam, Osama menegaskan, kekejaman tersebut tidak menunjukkan banyak perbezaan.

Katanya, jihad ke atas AS dan sekutunya berterusan malah bertambah kuat kerana kekuatan yang diberikan oleh Allah.

Pita rakaman tersebut dilihat merupakan versi lengkap kepada rakaman yang disiarkan oleh stesen televisyen Al-Jazeera pada 19 Januari lalu dalam mana Osama menyatakan, Al-Qaeda akan melancarkan serangan baru di AS tetapi pada masa yang sama bersedia menawarkan perdamaian sementara kepada mereka.

Dalam pita rakaman itu juga, Osama turut mencabar kenyataan pentadbiran Presiden George W. Bush kononnya adalah lebih baik jika usaha memerangi pengganas dilakukan di Iraq dan tidak di AS.

''Perang ke atas AS dan sekutunya tidak terbatas di Iraq sahaja seperti yang didakwa Bush tetapi Iraq kini menjadi pusat merekrut pejuang-pejuang.

''Apa lagi, para pejuang Mujahidin dengan limpah kurnia Allah berjaya menembusi parameter keselamatan yang diambil oleh negara- negara kafir dan ini terbukti dengan beberapa siri pengeboman di beberapa ibu kota utama di Eropah,'' jelas beliau.

Penyiaran pita rakaman itu juga menunjukkan Osama terus melancarkan kempen propaganda ke atas AS apabila beliau memperolok pengisytiharan Bush pada April 2003 bahawa kempen peperangan di Iraq sudah berakhir.

Menurut Osama, dengan bilangan tentera AS yang terbunuh semakin bertambah saban hari, kemerosotan dari segi moral tentera dan peningkatan kes bunuh diri di kalangan mereka, jelas apa yang diperkatakan oleh Bush adalah pembohongan semata-mata.

Selain itu, Osama memberi amaran kepada penduduk AS agar menyelamatkan apa yang ada dari dunia ini.

''Semuanya terletak di tangan anda. Jika anda fikir keadaan tentera AS adalah lebih penting daripada segala-galanya, terpulang kepada anda,'' katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home