Iraq makin bergolak
IRBIL: Iraq bak padang jarak padang tekukur kerana pembunuhan di kalangan mazhab adalah perkara biasa ketika ini dan keadaan itu adalah yang paling teruk di ibu negara, Baghdad, meskipun dakwaan pemimpin negara Teluk itu bahawa perang saudara meletus dinafikan jeneral dan pemimpin Barat.
Selain konflik antara mazhab, kempen pemberontakan terhadap pentadbiran penjajah berterusan apabila penentang dilaporkan menggempur sebuah balai polis di Muqdadiya, timur Baghdad awal semalam bagi membebaskan tahanan menyebabkan tembak menembak meletus yang menyaksikan 18 anggota polis dan 10 penyerang maut.
Memburukkan lagi konflik dalaman Iraq adalah laporan terbaru majalah Time bahawa askar Amerika Syarikat membunuh 15 penduduk dua keluarga termasuk seorang budak perempuan berusia tiga tahun selepas kematian seorang rakan mereka kerana bom tepi jalan di Haditha, barat Baghdad, 19 November lalu.Laporan wartawan Barat yang menyiarkan berita di internet mengatakan, pembunuhan antara puak Sunnah dan Syiah adalah kebiasaan sejak pengeboman Masjid Emas di Samarra, 22 Februari lalu.
“Tiga hari selepas pengeboman masjid itu, kira-kira 1,300 orang, kebanyakannya pengikut Sunnah ditahan di jalan raya atau diheret keluar dari kenderaan dan dibunuh,” menurut laporan itu.Ia diikuti dengan mayat empat orang disyaki penyerang bunuh diri yang digantung di tiang elektrik di Kota Sadr.Semua ini berlaku tanpa disaksikan dunia luar termasuk tindakan terbaru penduduk yang ketakutan meninggalkan kawasan kediaman ke tempat di mana etnik mereka membentuk majoriti yang dianggap kawasan lebih selamat.
Setiap etnik - Sunnah, Syiah dan Kurdis - semakin bergantung kepada militia masing-masing kerana bimbang pasukan polis yang melakukan rondaan mahupun sekatan jalan, adalah unit pembunuh.Di kawasan Sunnah dan Syiah yang aman sejak beberapa dekad mahupun abad lalu, keadaan syak wasangka semakin ketara. Misalnya, di perkampungan majoriti Syiah di al-Amel, barat Baghdad, puak itu dan penduduk Sunnah tinggal dalam keadaan berbaik-baik.
Tetapi, lima hari lalu, penduduk Sunnah mula menerima surat yang diletakkan di bawah pintu dengan sebutir peluru di dalamnya, menyuruh mereka segera berpindah atau dibunuh. Mereka juga diarah membawa semua harta benda dan hanya boleh pulang pada masa depan untuk menjual kediaman.Sebagai tindak bakas, penduduk Sunnah di al-Amel mula meletakkan hadangan di kawasan sekitar kediaman.Malah, beberapa keluarga Syiah yang dipercayai anggota Majlis Tertinggi Bagi Revolusi Islam Iraq (Sciri), dibunuh pada hari surat itu dihantar.
Tiga tahun lalu, kebanyakan penduduk Iraq gembira Saddam Hussein digulingkan sekalipun tidak suka dengan penjajahan Amerika kerana mahukan kehidupan seperti biasa. Malangnya, keadaan di Baghdad semakin buruk dan bahaya dibandingkan ketika pemerintahan Saddam.Sejak beberapa hari lalu, ketika cuaca semakin panas di Iraq dan orang ramai biasanya akan membeli pakaian untuk musim panas, kawasan membeli belah al-Mansur lengang. Banyak kedai ditutup kerana pemiliknya terlalu takut untuk keluar rumah.
sumber dari http://www.bharian.com.my
0 Comments:
Post a Comment
<< Home