Scroll images by bigoo.ws

Friday, March 17, 2006

Adun PAS dedah ditawar RM400,000 supaya ‘lompat parti’

MACHANG, 16 Mac (Hrkh) – Kerana tidak yakin kemampuan untuk merampas Kelantan pada pilihan raya umum ke-12 nanti, menyebabkan Umno kini berhempas pulas menggunakan taktik kotor bagi menumbang kerajaan PAS.

Strategi yang pernah digunakan pada 1968 bagi 'membeli' wakil rakyat PAS sekarang diulang semula dengan melipatganda lagi habuan kebendaan sehingga mencecah angka jutaan ringgit. Fokusnya kepada wakil-wakil rakyat PAS yang menang dengan majoriti kecil.

‘Agen Umno’ itu masih bergerak aktif membuat tawaran tersebut, biar pun sebelum ini dinafikan Presidennya, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Difahamkan selain menggunakan taktik itu, parti terbabit juga cuba menggunakan saluran lain termasuk istana.

Dakwaan itu bukan omong kosong lagi, sebaliknya ada asas yang kukuh. Terbaru pada 11 Mac lalu, Adun Kemuning, Haji Zakaria Yaakub, 55 mendedahkan beliau didatangi seorang agen dengan membawa wang tunai dalam beg galas.

“Wang yang ditawarkan kepada saya berjumlah RM400,000 terkandung di dalam beg yang dibawa bersamanya. Saya diperlihatkan wang tersebut yang masih lagi baru dan keras.
Dan dia memberitahu hanya akan tinggalkan beg itu sekiranya saya menandatangani tiga surat akaun menerima,” katanya di sini.

Surat akaun itu berbunyi ‘Bahawa saya nama…………… nombor kad pengenalan………… alamat………….............. dengan sesungguhnya mengaku bahawa telah menerima RM…………. daripada seorang Dato’ …………………… nombor kad pengenalan ……………… sebagai wang pendahuluan.’

Zakaria berkata, lelaki yang datang ke rumahnya di Labok, Pulai Chondong kira-kira jam 6.55 pagi itu adalah bekas rakan sekelas ketika belajar di Sekolah Menengah Hamzah, Machang semasa tingkatan lima.

Lelaki itu mendakwa sekarang tinggal di Kemahang 2, Tanah Merah. Pada awalnya dia menefon Adun terbabit pada malam Sabtu kira-kira jam 10.42 malam untuk berjumpa segera.

“Ketika menelefon saya, rakan itu mahu datang juga ke rumah biar pun jam 12 malam. Bagaimanapun saya tidak mahu menerimanya kerana keletihan dan saya minta dia datang keesokan pagi sebelum jam 7.

“Pagi itu ketika saya balik dari madrasah dia sudah ada di depan rumah. Ketika mula-mula melihatnya saya terkejut kerana ada sebuah beg galas bersamanya. Selepas mempersilakan masuk, dia menceritakan mahu memberi duit kerana ‘taukenya’ seorang Dato’ mahu membantu mana-mana DUN PAS yang lemah.

“Bagaimanapun wang itu boleh diserah selepas menandatangan surat akaun terbabit. Saya sebut kalau hendak bantu parti kena ada bendahari sebagai saksi, namun dia tidak mahu ada orang lain ketika itu,” ujarnya.

Menurutnya, selepas beliau enggan menandatangani surat akaun, lelaki itu meninggalkan satu daripada tiga kertas tersebut. Bagaimanapun selepas lima minit kemudian datang balik untuk mengambilnya.

Katanya, lelaki terbabit memberitahu sekiranya beliau bersetuju wang baki daripada jumlah keseluruhan RM1 juta akan diberi kemudian.

Zakaria juga menceritakan seminggu selepas menang pada pilihan raya umum lalu, beliau pernah ditawarkan sebanyak RM5 juta. Beliau pada awalnya ingatkan orang itu mahu melabur di Kelantan ketika memintanya datang ke pejabat seorang menteri.

Namun, tambahnya, apabila sampai keadaan sebaliknya pula berlaku, di mana mereka dengan hasrat jelas mahu ‘membelinya’ supaya menyertai Umno.

“Sahlah kini Umno benar-benar terdesak sehingga terpaksa menggunakan semula taktik yang pernah digunakan pada 1968 untuk membeli wakil rakyat PAS bagi menumbangkan kerajaan negeri. Hanya itulah kemampuan mereka kerana tidak yakin kekuatan parti sendiri,” ujarnya.
Oleh itu beliau berharap wakil-wakil rakyat PAS lain lebih berhati-hati kerana Umno mempergunakan sepenuhnya tempoh sebelum pilihan raya umum depan untuk menjatuhkan kerajaan negeri melalui cara tidak sihat.

Selain itu difahamkan, pemimpin Umno kini sedang berusaha mempengaruhi istana supaya mendesak kerajaan PAS membubarkan Dewan Undangan Negeri. Malah, ada arahan daripada pihak atasan di Kuala Lumpur meminta supaya media masa memainkan isu mendesak supaya DUN Kelantan dibubar.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home