Scroll images by bigoo.ws

Sunday, March 05, 2006

Jangan guna kuasa untuk kerosakan - TG Nik Aziz

PASIR GUDANG, 5 Mac (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan, setiap pemimpin mestilah menggunakan kuasa yang ada untuk menuju kearah kebaikan semata-mata.
Ini kerana kuasa yang ada di tangan pemimpin akan menentukan corak pemerintahan negeri dan negara yang sekaligus akan membentuk sikap dan peribadi rakyat, katanya dekat sini.Jika pemimpin tersilap menggunakan kuasa yang ada di tangan mereka maka negara dan rakyat akan menjadi rosak, katanya pada ceramah perdana yang diadakan di Taman Saujana Masai, baru-baru ini.
Hadir sama Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfoods Muhammad serta lain-lain pimpinan PAS Johor.
Menurut TG Nik Aziz, amanah kuasa yang diberikan Allah SWT kepada setiap pemimpin hendaklah digunakan kepada perkara-perkara yang membawa kebaikan semata-mata, sebarang usaha yang boleh membawa kerosakan hendaklah dijauhi sama sekali."Tetapi malangnya apa yang berlaku di negara kita hari ini pemimpin bukan saja tidak menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kerosakan kepada negara dan rakyat sebaliknya pemimpin itu sendiri menganjurkan perkara-perkara yang menjurus kearah kerosakan kepada rakyat dan negara," katanya.
Katanya lagi, akibat dari kesilapan pemimpin ini menyebabkan akhlak rakyat menjadi punah ranah, ramai umat Islam murtad, maksiat semakin menjadi-jadi dan lebih membimbangkan lagi apabila umat Islam semakin menjauhkan diri dari ajaran Islam sebenar.
Islam Hadhari semakin kelirukan rakyat
"Kemunculan Islam Hadhari yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi langsung tidak membantu memperbaiki akhlak rakyat bahkan sejak kemunculan fahaman baru ini umat Islam menjadi semakin keliru," katanya.
Tuan Guru selanjutnya berkata, "kita tidak nampak apa bezanya ajaran Islam Hadhari ini dengan amalan mereka sebelum ini tetapi yang jelas program-program mungkar semakin menjadi-jadi dan kerajaan di bawah pimpinan Abdullah dengan Islam Hadharinya semacam meredhai kemungkaran yang semakin berleluasa ini.""Hari ini jelaslah kepada semua bahawa kemunculan Islam Hadhari ini tidak lebih hanya sekadar untuk kepentingan politik semata-mata bukan untuk merealisasikan ajaran Islam sebenar.
"Selanjutnya menurut Tuan Guru lagi, inilah yang berlaku apabila pemimpin hanya memikirkan soal kepentingan kuasa politik semata-mata, mereka langsung tidak menghiraukan masalah akhlak dan akidah rakyat.
"Bagi mereka apa saja yang dilakukan mestilah memberi keuntungan dalam misi politik mereka, walau pun agenda yang diketengahkan ini memberi kesan negatif terhadap rakyat terutama umat Islam tetapi demi kepentingan politik dan kuasa, mereka menghalalkan segala-galanya," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home