Scroll images by bigoo.ws

Saturday, March 04, 2006

Washington pujuk negara asing pinggir Hamas

WASHINGTON 3 Mac - Amerika Syarikat (AS) bercadang untuk meminggirkan kumpulan Hamas dari segi kewangan dan politik dalam usaha menyukarkan kumpulan militan Palestin itu untuk mentadbir, kata wakil AS ke Asia Barat semalam.

Penolong Setiausaha Hal Ehwal Timur Dekat, David Welch memberitahu ahli-ahli Kongres bahawa Washington sedang cuba mempengaruhi kerajaan-kerajaan asing yang lain agar tidak menemui para pemimpin Hamas.

Kumpulan radikal Palestin itu memenangi pilihan raya Palestin pada Januari lalu dan dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh AS dan Kesatuan Eropah (EU).

''Kami menggesa kesemua kerajaan asing supaya tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Hamas kerana buat masa ini, hanya langkah itu sahaja yang yang paling berkesan,'' kata Welch.

Strategi AS adalah untuk ''menyukarkan fungsi Hamas sebagai sebuah kerajaan,'' katanya.

''Kami ingin menarik perhatian mana-mana kerajaan asing yang mengadakan perbincangan dengan Hamas supaya mempertimbangkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kumpulan Empat Untuk perdamaian Asia Barat,'' katanya.

Kumpulan itu yang dianggotai oleh AS, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Rusia telah menggesa Hamas supaya menghentikan keganasan, mengiktirafkan Israel dan mematuhi pelan damai untuk mencapai keamanan.

Sementara itu, pemimpin Hamas, Khaled Meshaal membidas Israel kerana tidak mematuhi pelan damai antarabangsa yang disusun untuk mencapai perdamaian di Asia Barat.

''Israel menolak pelan damai yang disusun untuk Asia Barat,''

katanya kepada para pemberita sebaik sahaja beliau tiba di lapangan terbang di luar Moscow hari ini.

''Kami mahu mencapai perdamaian di Asia Barat tetapi ia hanya boleh tercapai dengan menamatkan pendudukan Israel,'' tambahnya.

Khaled dijadualkan menemui Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan para pegawai Rusia yang lain hari ini.

Lavrov menjelaskan bahawa tujuan mereka mengundang Hamas ke Moscow adalah untuk menjelaskan kepada pucuk pimpinan kumpulan Palestin itu tentang pentingnya mereka menghormati prinsip-prinsip kumpulan empat antarabangsa itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home