Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, March 22, 2006

Suaram kecam kenyataan Mustapa

Terjemahan Badan hak asasi manusia, Suaram hari ini mengecam Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Mustapa Mohamed kerana mengesa pelajar supaya menumpukan kepada pengajian mereka dan lupakan yang lain-lainnya.
Suaram menyifatkan kenyataan menteri baru itu menunjukkkan beliau sudah "ketinggalan zaman". "Kenyataan tersebut menunjukkan beliau tiada bezanya dengan menteri sebelumnya yang tidak faham langsung mengenai hak asasi manusia," kata Penyelaras Suaram Chang Lih Kang dalam satu kenyataan. Semalam, Mustapa (foto) berkata, para pelajar tidak sepatutnya menjejaskan masa depan mereka dengan menyertai demonstrasi jalanan.
Beliau dilaporkan berkata: "Kita mahu pelajar kita menumpukan kepada pengajian mereka. Jika mereka melanggar undang-undang mereka akan dikenakan tindakan. Anda sedang belajar, jadi jangan babitkan diri dalam demonstrasi."
Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas kes 17 pelajar Universiti Malaya (UM) yang menghadapi tindakan disiplin kerana menyertai perhimpunan di depan bangunan Parlimen kerana membantah penyelewengan yang didakwa mereka berlaku dalam pilihanraya kampus yang lalu. Mustapa juga mendedahkan yang kes terhadap 17 pelajar terbabit telah digugurkan Isnin lalu.
Berhenti ambil tindakan
Sementara itu, Chang berkata, melarang pelajar daripada membabitkan diri dalam demonstrasi bukan sahaja bercanggah dengan perlembagaan, tetapi juga melanggar Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat. Di samping itu, tambahnya, kenyataan menteri berkenaan juga bertentangan dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melihat pelajar membentuk perwatakan yang baik seiiring dengan kecemerlangan akademik.
Oleh itu, Chang berkata Mustapa mesti memohon maaf kerana kenyataannya `yang ketinggalan zaman itu" serta mengarahkan semua universiti menghentikan tindakan terhadap para pelajarnya. Kira-kira 20 pelajar sedang menghadapi tindakan disiplin oleh pihak universiti masing-masing kerana membantah dan memulaukan pilihanraya kampus yang lalu, yang didakwa mereka dicemari penyelewengan.
Berikutan pemulauan tersebut, maka buat pertamakalinya, kumpulan 'pro-establishment' berjaya menyapu bersih kerusi yang dipertanding di semua 17 universiti awam. Mengulas lanjut mengenainya, Chang berkata, langkah mengambil tindakan terhadap mereka yang mendedahkan perbuatan penyelewangan adalah tidak wajar samasekali dan boleh dianggap sebagai perbuatan membuli.
"Mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, tetapi hanya mendedah kebenaran. Jika tiada apa yang hendak disembunyikan oleh pihak berkuasa universiti, maka mereka patut menghentikan segera sesi siasatan dan sebaliknya siasat dakwaan penyelewangan itu," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home