Keganasan: AS hakis hak asasi
WASHINGTON 19 Jan. - Perang menentang keganasan yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) telah membawa kepada penderaan dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan, sekali gus menghakis hak asasi manusia di seluruh dunia.
Human Rights Watch semalam melaporkan, AS melanggar standard asas hak asasi manusia atas nama memerangi keganasan sehingga mencetuskan ``fenomena peniruan di seluruh dunia.''
Pengarah Eksekutifnya, Kenneth Roth berkata, beliau pernah menyoal Perdana Menteri Mesir, Ahmed Nazif tahun lepas berhubung penderaan terhadap suspek serangan bom yang menempelaknya dengan berkata: ``Apa yang anda mahukan. Ini juga yang AS lakukan.''
Badan yang berpusat di New York itu melaporkan, terdapat bukti-bukti baru yang menunjukkan penderaan dan penganiayaan menjadi sebahagian daripada strategi menentang keganasan dalam pentadbiran Presiden AS, George W. Bush.
``Berlaku masalah besar apabila kerajaan yang berpengaruh seperti AS melanggar standard asas hak asasi manusia, ia memberi lampu hijau kepada kerajaan-kerajaan lain untuk melakukan perkara yang sama,'' kata Roth.
Human Rights Watch menyebut, beberapa negara seperti Uzbekistan, Rusia dan China menggunakan perang keganasan untuk ``menyerang musuh politik dan menuduh lawan sebagai pengganas Islam.''
sumber dari UiTM-melaka@yahoogroups.com
0 Comments:
Post a Comment
<< Home