Menteri-menteri kabinet bukan Islam mula tunjuk taring
Dari 32 orang Menteri Kabinet Malaysia yang diketuai oleh PM, seramai 10 orang adalah bukan Islam iaitu seorang Hindu (Samy Vellu) lima Buddha/Tao (Ong Ka Ting, Fong Chan Onn, Lim Keng Yaik, Chan Kong Choy, Chua Soi Lek) dan empat Kristian (Maximus Ongkili, Bernard Dompok, Peter Chin, Leo Michael Toyad).
Sebelum ini kita tidak pernah mendengar blok menteri-meneteri bukan Islam ini berkumpul atau bermesyuarat atas sifat mereka sebagai penganut agama yang bukan Islam. Akan tetapi semalam Buletin Utama TV3 melaporkan bahawa hari ini blok menteri-menteri bukan Islam ini atas inisiatif Presiden MIC, Samy Vellu akan bermesyuarat bagi membincangkan isu hasil keputusan kes Allahyarham Sarjan Mohammad Abdullah a.k.a Moorthy dan Perkara 121 (1)(A) Perlembagaan Persekutuan.
UTUSAN hari ini memetik Samy sebagai berkata:
Saya juga akan membincangkan isu yang sama dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting serta beberapa menteri bukan Islam sebelum mesyuarat jemaah menteri esok.Menteri-menteri ini turut menjaga kepentingan orang bukan Islam dan saya mahu mendapat pandangan dari mereka.
Samy dikatakan mengambil insiatif ini setelah berjumpa selama dua jam semalam dengan perwakilan dari Majlis Perundingan Penganut Agama-agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh Malaysia.
Samy turut dilaporkan oleh akhbar THE STAR sebagai berkata bahawa pihak MIC sedang menyediakan suatu kertas cadangan untuk diserahkan kepada PM Dollah Badawi pada minggu hadapan berhubung perkara ini.
Kata Samy lagi sebagaimana dilaporkan oleh UTUSAN:
Pada akhir pertemuan kita telah sepakat bahawa satu tindakan yang lebih proaktif iaitu satu pindaan (Perlembagaan Persekutuan) perlu dilakukan dan jika kerajaan bersetuju ia boleh mengatasi masalah pada masa depan.
Sesungguhnya inisiatif kumpulan bukan Islam ini telah bermula sejak dari majlis Perundingan Meja Bulat Parlimen yang dianjurkan oleh DAP beberapa hari lalu. Majlis yang turut dihadiri oleh wakil-wakil NGO bukan Islam seluruh Malaysia (termasuklah dua tiga penganut Islam yang kononnya menganuti fahaman Islam moderat) itu telah pun mengeluarkan memorandum bersama yang telah pun diserahkan kepada pihak kerajaan.
Berkemungkinan apa yang diusahakan oleh Samy ini adalah gelombang kedua yang turut disokong oleh NGO-NGO berkenaan.
Demikianlah bersungguhnya masyarakat bukan Islam dalam memperjuangkan tuntutan mereka. Ianya bermula dari kes Moorthy, seorang anggota tentera yang dikatakan telah memeluk Islam tetapi kononnya merahsiakan pengislamannya dari pengetahuan isteri beliau yang masih beragama Hindu. Lalu apabila meninggal dunia, berlaku pergelutan antara isteri dan keluarganya serta pihak berkuasa agama.
Akhirnya sebagaimana kita semua ketahui Allahyarham telah berjaya dikebumikan secara Islam dan kini kesimpulannya isteri, keluarga beliau serta seluruh pimpinan masyarakat bukan Islam sedang bangun untuk menuntut bela. Jika pun tidak dapat merampas kembali mayat Allahyarham untuk dikebumikan mengikut kepercayaan Hindu, mereka sedang giat berusaha sekurang-kurangnya peruntukkan perlembagaan yang sedia ada dipinda agar mahkamah sivil akan diberi kuasa memutuskan samada seseorang itu Islam ataupun sebaliknya apabila berulang kes yang sama.
Peruntukkan yang dimaksudkan adalah Perkara 121(1)(A) Perlembagaan Persekutuan yang melarang mahkamah sivil campurtangan dalam urusan dan keputusan mahkamah syariah.
Sekiranya berjaya tuntutan mereka dan kerajaan BN bersetuju meminda atau membatalkan peruntukkan yang dimaksudkan bermakna selepas ini jika berulang kes yang sama maka bersedialah kita untuk melihat jenazah saudara se Islam kita dikebumikan mengikut kepercayaan bukan Islam. Bersedialah kita untuk melihat Pejabat Agama menjadi bahan tontonan dan pertikaian. Akan dikemukakanlah ulamak-ulamak bermazhab Islam moderat untuk melawan hujah ulamak-ulamak Islam dalam mahkamah, bagi memenangkan tuntutan pihak bukan Islam. Ringkasnya bersedialah untuk melihat Islam diperkotak-katikkan di depan mata kepala kita masing-masing!
Lihat, apabila kes seumpama ini berlaku, masyarakat bukan Islam dengan mudah dapat digerakkan. Pemimpin-pemimpin bukan Islam dari parti-parti kerajaan dan pembangkang serta keseluruhan NGO bukan Islam boleh bersatu dan membuat tuntutan secara berani dan terbuka. Bagaimana dengan pemimpin dan NGO Islam?
Selain dari lapan NGO Islam (Persatuan Ulamak, PUM (Kedah), ABIM, JIM, ISRA, SHURA, Persatuan Peguam Syarie dan TERAS) yang benar-benar berani, yang lainnya bacul diam membisu. Mana pergi ahli-ahli Parlimen Islam? Mana pergi ADUN-ADUN Islam? Mana pergi parti-parti orang Islam? Mana pergi NGO-NGO Islam yang lain? Persatuan-persatuan Masjid dan Surau dimana?
Kita bukan mahu mendesak agar diadakan rusuhan atau kekacauan. Tetapi yang kita tuntut adalah keprihatinan. Bukankah kita mewakili golongan majoriti? Seharusnya dalam negara demokrasi ini kita juga mengeluarkan memorandum dan tuntutan demi memelihara kewibawaan dan nama baik Islam.
Percayalah golongan bukan Islam ini semakin vokal dan berani kerana mereka melihat umat Islam seolah tidak memperdulikan langsung perkara ini. Tambahan pula terdapat satu dua kerat individu Islam seperti ahli Parlimen Kota Bharu, SIS dan beberapa peguam bingung yang bersetuju pula dengan tuntutan mereka, maka bertambah semangatlah golongan ini.
Marilah atas nama Islam kita menyuarakan dengan jelas dan nyata bahawa Perkara 121 (1) (A) ini mesti dikekalkan demi memelihara dan mengiktiraf kuasa institusi mahkamah syariah. Jika masyarakat bukan Islam tidak berpuas-hati dengan keputusan kes Moorthy, maka jalan sebaiknya adalah kita duduk berunding (libatkan pihak berkuasa agama, NGO dan ulamak Islam disamping NGO bukan Islam tadi) dan bersama mencari kaedah terbaik untuk mengatasinya, tidaklah dengan meminda atau menyentuh Perkara 121 (1) (A) itu!
Malah susur-galur kes Moorthy itu sendiri yang penuh dengan kontroversi perlu dirongkai. Selama ini akhbar-akhbar yang memberi liputan besar terhadap tuntutan masyarakat bukan Islam sekadar melaporkan versi isteri Allahyarham dan keluarganya yang masih Hindu sahaja. Pandangan dan kenyataan pihak lain tidak pula diberi ruang.
BLOG ini pernah (sila rujuk artikel 29 Disember 2005) menyiarkan pengakuan seorang wartawan RTM (melalui Harian Metro) yang mengenali Allahyarham dan mengakui bahawa Allahyarham yang beliau kenal sebenarnya tahu dan mengerti akan ajaran-ajaran Islam, hafal beberapa ayat lazim dan hadis malah mengakui bersolat secara baring (sedangkan dalam affidavit isterinya Allahyarham dikatakan tidak pernah mengamalkan cara hidup Islam malah makan babi, minum arak dan mengangkut kavadi semasa Thaipusam)
BLOG ini juga pernah menyiarkan kenyataan pihak JAWI (sila rujuk artikel 9 Januari 2006) yang menyatakan bahawa mereka sering malah hampir setiap hari menziarahi rumah Moorthy dan hospital (semasa belia dimasukkan ke sana) malah dikatakan isteri Moorthy juga tahu akan kunjungan itu (sedangkan dalam afidavitnya si isteri menyatakan beliau tidak tahu menahu bahawa Allahyarham telah memeluk Islam).
Mengapa kita tidak highlight dan membesarkan kenyataan-kenyataan ini yang jelas menyanggah affidavit isterinya itu?Saya rasa kalau affidavit itu pun sudah diragui maka segala exercise yang merupakan tuntutan untuk meminda Perlembagaan dan kekecohan-kekecohan lain yang ditimbulkan oleh DAP, NGO-NGO bukan Islam serta blok Menteri-menteri bukan Islam ini sebenarnya tidak berasas dan tidak sepatutnya ditimbulkan pun.
Bersatulah wahai saudara-saudara ku, kita ketepikan fahaman politik dan kecenderungan masing-masing, dalam hal ini kebenaran perlu diserlahkan dan Islam wajib dipertahankan. Mudah-mudahan kita tidak terlambat.
sumber dari http://n32.blogspot.com/
0 Comments:
Post a Comment
<< Home