Konsep Ibadah dalam Islam
Perbincangan mengenai konsep ibadah dan tuntutannya seringkali dibahas dan dikupas dari berbagai dimensi serta berbagai peringkat pendengar. Keadaan ini berlaku kerana wujudnya kepelbagaian cara ibadah yang dilakukan oleh anggota masyarakat Islam samada bercorak konvensional atau pun yang beragam dalam usaha untuk mengiringi era kebangkitan semula Islam.
Perbezaan-perbezaan cara tersebut kadang-kadang boleh merosakkan konsep ibadah itu sendiri dan juga kepentingannya. Maka berlakulah kadang-kadang yang sunat diperlihatkan sebagai wajib, sementara yang wajib dinafikan sama sekali tuntutannya seperti dalam soal menegakkan negara Islam, hukum hudud dan sebagainya.
Ibadah dari segi bahasa adalah bermakna patuh, taat dan merendahkan diri. Sementara itu mengikut istilah syara’ ibadah adalah menggerakkan segala pancaindera, perasaan dan hati ke arah mematuhi syariat Islam dalam gerakan hubungannya dengan alam, Allah dan diri pengabdi itu sendiri dengan tujuan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Di antara perkara asas yang patut diambil kira ialah apakah ibadah itu memenuhi syarat-syarat yang sah yang ditentukan oleh syariat itu sendiri. Antara lain fakta yang perlu diambil kira ialah kepatuhan adalah kepada Allah dan Rasulnya sahaja. Seorang pelaku ibadah itu juga mestilah beriman dengan rukun-rukun Iman dan Islam. Beribadah itu pula mestilah dengan nawaitu yang betul dan benar.
Tujuan perlaksanaan ibadah itu sebenarnya adalah untuk memenuhi konsep kejadian manusia itu sendiri sepertimana yang difirmankan dalam al-Quran dengan maksud :
“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri (kepadaku).”
Dengan begitu ibadah itu akan membawa rahmat kepada seluruh makhluk Allah dan alam ini seluruhnya. Ini sesuai dengan maksud al-Quran yang berbunyi :
“Tidak aku utuskan engkau melainkan untuk membawa rahmat bagi sekelian alam.”
Sejarah telah menjadi bukti kepada kita betapa nilai kebenaran itu selalu berbeza di antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan lainnya. Orang-orang Arab jahiliyyah misalnya membenci anak perempuannya sebagai satu langkah keselamatan untuk keluarga mereka sendiri. Sementara itu di Barat pula bersekedudukan tanpa nikah adalah sesuatu yang normal dan dibenarkan pula oleh masyarakat mereka. Islam Hadhari pula lebih utamakan “Islam Progresif” dengan meminggirkan Islam yang diajar olah Nabi SAW.
Ibadah dalam Islam adalah puncak kepatuhan dan puncak ketinggian perasaan terhadap kebesaran Allah, dan ia merupakan tanda penghubung di antara khalik dengan makhluknya. Ibadah juga adalah mencakup semua rukun Islam itu sendiri yang kesemuanya merupakan aktiviti hamba yang ditunaikan dalam konteks untuk mencari keredaan Allah semata-mata. Menurut Islam seluruh kehidupan ini adalah ibadah sesuai dengan maksud al-Quran :
‘Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.”
sumber dari http://www.tranungkite.net
0 Comments:
Post a Comment
<< Home