Akhbar dedah kekejaman
LONDON: Sebuah akhbar berpengaruh Britain semalam mendedahkan kekejaman lapan askar negara itu yang membelasah bertubi-tubi sekumpulan remaja Iraq, termasuk menggunakan kayu belantan dan menendang kemaluan seorang pemuda sehingga jatuh tersungkur dalam kejadian dipercayai di selatan Iraq, pada 2004.
Gambar disiarkan akhbar News Of The World yang mendakwa menerimanya dari seorang sumber, juga seorang askar yang kesal dengan perbuatan itu.
Akhbar itu berkata, pihaknya sudah menghantar bukti itu ke Kementerian Pertahanan Britain.
Kekejaman yang tercetus ketika beberapa siri tunjuk perasaan di selatan Iraq, bagaimanapun pasti mengundang kecaman antarabangsa selain memalukan pasukan tentera Britain yang mengiringi askar Amerika Syarikat (AS) dalam pencerobohan di Iraq pada 2003.
"Hari ini kami mendedahkan tindakan kejam dan ganas askar Britain yang menyerang sekumpulan remaja Iraq yang lemah dan tidak bersenjata. Tanpa sebarang simpati, mereka membelasah remaja itu, termasuk melepaskan 42 tumbukan yang hanya menjadi bukti memalukan negara ini dan pasukan tentera yang disegani," kata akhbar itu dalam laporan muka depannya, termasuk menyiarkan beberapa keping gambar kekejaman itu, semalam.
Gambar rakaman video lebih tiga minit itu diambil secara rahsia oleh seorang askar berpangkat korporal, atas alasan sekadar `suka-suka.' Ia menunjukkan sekurang-kurangnya lapan rakannya melakukan kekejaman ke atas remaja Iraq berkenaan yang didakwa merusuh.
Sepanjang tempoh penderaan itu, askar yang merakam aksi itu sempat membuat ulasan yang diselang seli ketawa serta maki hamun ke atas mangsa itu."Ya, ya, rasakan. Itulah yang anda patut terima. Budak jahat. Matilah, ha...ha."
Askar yang menjadi sumber pendedahan itu yang dirahsiakan identitinya berkata, semua mangsa terbabit adalah remaja Iraq yang hanyalah pemuda biasa.
"Mereka serba serbi kekurangan, malah ada yang cuma berkaki ayam. Tetapi lapan askar itu bertindak melampau dan di luar kawalan. Perbuatan mereka memalukan imej askar lain yang bekerja keras di Iraq selama ini."
0 Comments:
Post a Comment
<< Home