Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, February 01, 2006

Anthonysamy dikebumi cara Islam

MELAKA 31 Jan. - Jenazah bekas pekerja ladang tembikai, N. Anthonysamy atau nama Islamnya, Mohd. Sani Abdullah 71, selamat dikebumikan mengikut hukum syarak tanpa bantahan daripada keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Ayer Keroh, di sini kira-kira pukul 12.40 tengah hari ini.

Ini berikutan pengesahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bahawa lelaki berketurunan India itu telah memeluk Islam pada 1 Julai 1992.

Pengkebumian disempurnakan oleh JAIM yang menuntut jenazah Allahyarham di Hospital Melaka (HM) setelah ahli keluarganya berpuas hati bahawa Anthonysamy adalah seorang Islam selepas melihat dokumen berkaitan.

Ini adalah kes pertama membabitkan isu tuntutan jenazah Islam oleh keluarga bukan Islam yang diselesaikan secara aman tanpa kekecohan mahupun melibatkan pihak mahkamah selepas kes pendaki Everest, M. Moorthy dan Nyonya Tahir, 89, di Negeri Sembilan.

Jenazah Anthonysamy dimandi dan disembahyangkan di HM pagi ini sebelum dibawa keluar dari rumah mayat dengan kereta jenazah kira-kira pukul 11.30 pagi untuk dikebumikan.

Hadir sama di HM ialah ahli keluarga Anthonysamy termasuk anak lelakinya, Henry Anthonysamy, 38, yang kelihatan tenang dan bersalam dengan beberapa pegawai JAIM, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Melaka sebaik sahaja jenazah bapanya dibawa keluar dari rumah mayat.

``Kami (JAIM) uruskan jenazah ayah awak ya,'' kata Setiausaha MAIM, Abd. Halim Tawil sambil bersalam dengan Henry yang kelihatan mengangguk-anggukkan kepalanya.

Anthonysamy mengalami keracunan dan meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 pagi semalam setelah dimasukkan ke HM pada 12.30 tengah malam semalam.

Henry yang ditemui kemudian berkata, ahli keluarganya menerima kenyataan bahawa bapanya telah memeluk Islam selepas melihat dokumen berkaitan malam tadi dan tidak bercadang membawa kes ke mahkamah.

``Kami sekeluarga memang tidak tahu tentang perkara ini (Anthonysamy memeluk Islam) kerana sudah lebih 15 tahun tidak berhubung dengan bapa.

``Kami terima semua ini kerana sudah ada bukti dan pengesahan dari Jabatan Agama, buat apa panjangkan kes ini dengan bawa ke mahkamah, tak perlulah,'' katanya yang merupakan anak kelima daripada tujuh orang adik beradik.

Anthonysamy telah lama bercerai dengan isterinya dan tidak lagi berhubung dengan ahli keluarganya yang beragama Kristian sejak 15 tahun lalu.

Menurut Henry, dia datang ke HM hari ini bersama ahli keluarga yang lain untuk memberi penghormatan terakhir kepada bapanya.

Menurut Abd. Halim, sejak memeluk Islam, arwah tinggal bersama keluarga angkatnya, Mohd. Said Mat Desa, 47, di Merlimau.
sumber dari http://www.utusan.com.my 1 Februari 2006 ( Rabu )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home