Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, January 31, 2006

Wanita pimpin ‘Kerajaan Tuhan’

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meminta umat Islam menjauhi ajaran sesat baru dari Indonesia digelar `Kerajaan Tuhan’ yang hampir menyerupai ajaran `Kerajaan Langit’ pimpinan Ayah Pin.Kegiatan ajaran sesat itu yang menggemparkan negara terbabit kini disebarkan secara meluas melalui internet.Pegawai Perhubungan Awam Jais, Fakrul Azam Yahya, berkata walaupun belum ada laporan berhubung penyebaran ajaran sesat itu di Selangor, pihaknya tidak menolak kemungkinan pihak tertentu cuba berbuat demikian.
“Justeru, Jais mengambil langkah proaktif kerana pernah menerima aduan mengenai kewujudan beberapa ajaran sesat lain yang dibawa dari negara jiran itu.“
Maklumat mengenai ajaran `Kerajaan Tuhan’ itu sedang dikumpul, termasuk melalui internet untuk dikenal pasti fakta yang diselewengkan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, Jais turut bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membanteras ajaran sesat.“Sebagai badan penyelaras peringkat kebangsaan, Jakim menjadi rujukan lengkap kepada kami terhadap sebarang kegiatan ajaran sesat yang baru atau sudah lama bertapak,” katanya.
Fakrul berkata, pihaknya tidak pernah memandang ringan ajaran sesat kerana bimbang boleh menjadi berpengaruh seperti ajaran sesat Ayah Pin dan Haji Kahar.“
Contohnya, baru-baru ini, Jais ada menerima aduan daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berhubung ajaran sesat yang didalangi golongan profesional dari Indonesia di negeri ini.“Bagaimanapun, Jais masih menyiasat perkara terbabit berikutan individu yang menyebar ajaran sesat itu kerap berpindah dan sukar dijejaki,” katanya.
Sementara itu, menurut beberapa laman web, `Kerajaan Tuhan’ itu menggabungkan semua agama lahir daripada idea seorang wanita bernama Lia Aminuddin berusia 58 tahun yang mengaku dirinya sebagai pasangan Malaikat Jibril yang diutuskan ke bumi.
Ajaran sesat terbabit turut popular dengan nama Eden atau Taman Firdaus.Lia, seorang ibu tunggal, sebelum ini hanya seorang penggubah bunga.
Wanita terbabit mendakwa dirinya menerima bimbingan dan didikan khas daripada malaikat Jibril sejak 1997 hingga kini.
Dia yang bertukar nama kepada Lia Eden turut mendakwa selepas menempuh pelbagai ujian berat dari malaikat Jibril, diutus untuk menyampaikan perintah tuhan kepada umat manusia.Lebih mengejutkan apabila Lia menjadikan laman web di internet kononnya untuk mengutus wahyu kepada pemimpin politik negara terbabit selain orang ramai.
Antara lain, pengasas ajaran sesat itu secara berani mendakwa individu atau pemimpin politik yang mempertikaikan `Kerajaan Tuhan’ akan ditimpa bala dan kemurkaan daripada tuhan.
Dakwaan itu sengaja diperkuatkan dengan kejadian banjir besar di daerah Jember, Jawa Timur dan kejadian tanah runtuh di wilayah Jawa Tengah yang mengorbankan lebih 200 nyawa akibat kedegilan golongan ulama yang terus ‘menggugat’ ajaran sesat itu.
Wanita terbabit turut mendakwa dilantik sebagai hakim Allah yang menghakimi individu yang tidak mahu percaya dan menganiaya agama serta pengikutnya.
Lia juga didapati mengeluarkan pelbagai fatwa dan wahyu untuk penganut Buddha, Kristian dan Hindu.
Sejak ajaran sesat itu mula disebarkan, jumlah pengikutnya semakin bertambah, malah ada anggotanya sudah dikahwinkan mengikut upacara khas.
Penyebarannya pula meracuni fikiran segelintir masyarakat Indonesia hingga ada pelajar melakukan demonstrasi meminta ajaran itu dibenarkan dianuti mengikut dasar kebebasan beragama.
Difahamkan Menteri Agama Indonesia, H M Maftuh Basyuni, mengumumkan ajaran Lia Eden itu adalah sesat dari segi hukum Islam.
Berikutan itu, pihak berkuasa Indonesia bertindak menyerbu rumah dua tingkat di Jalan Mahoni 30, Jakarta, yang menjadi markas ajaran terbabit pada 28 Disember lalu.
Ratusan anggota polis menyerbu rumah milik Lia Eden dan memberkas 20 pengikutnya terdiri lelaki, wanita dan kanak-kanak yang berpakaian seperti mengerjakan ihram, selain memakai objek aneh di kepala.Bagaimanapun, penangkapan Lia gagal menghentikan penyebaran ajaran ‘Kerajaan Langit’ itu yang kini terus menular melalui internet oleh pengikutnya
sumber dari http://www.hmetro.com.my/ 31 Januari 2006 ( Selasa )

0 Comments:

Post a Comment

<< Home