Scroll images by bigoo.ws

Wednesday, February 01, 2006

Hidupkan semangat hijrah - Perutusan Presiden PAS

Perutusan Maal Hijrah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena sambutan Awal Muharram 1427.

Alhamdulillah, kita berkesempatan menyambut Awal Muharram 1427 Hijrah. Peristiwa yang menjadi titik tolak kepada perjuangan Islam yang sangat penting apabila generasi awal menjadikan hijrah sebagai permulaan tahun bagi umat Islam, yang berbeza dengan umat yang lain dalam dunia. Ini menandakan perlunya kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada perkara yang berlaku dalam hijrah itu. Di antara perkara yang penting di dalam peristiwa hijrah ialah menunaikan kewajipan menegakkan pemerintahan yang mendaulatkan syariat Allah SWT, yang benar-benar memberi keadilan kepada manusia sejagat kerana mesej Islam adalah mesej untuk seluruh manusia di sepanjang zaman.

Islam merupakan ajaran Allah SWT yang sempurna dan lengkap, telah terbukti dengan nyata dalam kenyataan sejarahnya mewujudkan masyarakat madani melalui pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh Rasulullah s.a.w. ketika melakukan hijrah.

Masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbagai agama, kaum dan bangsa boleh menerima pemerintahan Islam. Dan mereka mengakui keadilan ini sehingga sebahagian besar daripada mereka menganut agama Islam tanpa paksaan.

Ini kerana selepas berkembangnya pemerintahan Islam di seluruh pelosok dunia berabad-abad lamanya dalam satu wilayah yang luas, kita melihat masih ada lagi penganut-penganut yang bukan Islam dan rumah-rumah ibadat mereka di tengah-tengah masyarakat Islam. Ini menandakan tidak ada paksaan, bahkan perkara ini disebut oleh ahli-ahli sejarah yang mengkaji secara ikhlas.

Hal-hal yang seperti ini wajib menjadi renungan kepada umat Islam supaya mereka sedar dan insaf. Mereka tidak berhajat lagi kepada ideologi dan teori ciptaan manusia kerana Islam, petunjuk daripada Allah SWT ini telah membuktikan satu-satunya yang memberi kejayaan kepada kita di dunia dan janji Allah di akhirat juga adalah benar.

Adalah wajib bagi umat Islam yakin dan percaya hanya Islam yang menyelamatkan mereka di dunia dan menyelamatkan mereka di hari akhirat. Ini menunjukkan bahawa hijrah mempunyai satu wawasan yang sangat jauh, bukan wawasan perhitungan tahun yang ada dalam kehidupan manusia di dunia bahkan wawasan dari dunia sehingga hari akhirat.

Prinsip yang diatur oleh Allah SWT dengan dasar yang teguh dan pelaksanaan yang fleksibel, yang tidak menghanyutkan manusia ke dalam kancah kesesatan. Bahkan menyelamatkan mereka dalam keadaan dimanfaatkan sifat-sifat manusia yang baik dan menghilangkan serta mencegah sifat-sifat manusia yang buruk. Ini merupakan satu peraturan ataupun sistem yang diatur oleh Tuhan yang mencipta manusia itu sendiri dan mencipta seluruh alam.

Maka peristiwa hijrah perlu diingati oleh umat Islam. Dan saya pada kesempatan ini mengajak seluruh umat Islam khususnya supaya kita sama-sama menghidupkan semangat hijrah bagi menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. dan generasi awal Islam.

Dan kepada seluruh umat manusia, kita mengajak supaya mereka tidak perlu bimbang dengan kemunculan Islam yang ada pada hari ini. Bahkan itu adalah fajar yang menyingsing, menandakan kebaikan sekiranya Islam diberi tempat dan diberi kebenaran untuk dilaksanakan di muka bumi ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home