Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 21, 2006

Dr Mahathir tetap tidak puas hati prestasi Abdullah

PULAU PINANG, 22 Feb (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ternyata tetap tidak berpuas hati dengan prestasi penggantinya, Datuk Seri Abdullah Badawi apabila beliau membangkitkan persoalan mengenai cadangan perjanjian antara Malaysia dengan Jepun
"Saya dengar ada cadangan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Jepun kononnya untuk membenarkan negara Jepun membawa masuk kereta import tanpa cukai dan dalam masa yang sama Jepun pula akan membenarkan kita mengeksport sayur ke negara itu tanpa cukai.
"Jika benar perkara ini berlaku, kerajaan harus mempertimbangkan nilai imbangan dagangannya dengan Jepun sama ada ianya rancangan yang berdaya maju daripada segi ekonomi atau sebaliknya," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga seolah-olah mengingatkan Abdullah tentang kecekapannya dalam mengendalikan ekonomi negara.

Beliau berkata, terdapat dua faktor bagi sesebuah kerajaan yang mahu memajukan negara iaitu mewujudkan suasana negara yang stabil dan kerajaan yang cekap.

Seakan-akan mengajar Abdullah, bekas Perdana Menteri mengingatkan, kerajaan yang cekap bukanlah sekadar menjadi kerajaan memerintah sahaja tetapi para pemimpinnya harus memahami usaha untuk mempertingkatkan ekonomi negara.

Mengenai tindakan kerajaan Abdullah memberi tumpuan kepada bidang pertanian sekarang, beliau berkata itu terpulang kepada kerajaan sekarang yang mahukan negara maju dalam bidang pertanian walaupun beliau dahulunya menumpukan kepada bidang perindustrian.

Pengaruh Mahathir

Dr Mahathir juga menolak anggapan bahawa wujud pengaruhnya dalam rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri minggu lepas.

Beliau hairan dengan dakwaan pihak tertentu kononnya beliau masih mempunyai kuasa untuk menentukan barisan kabinet kerajaan sekarang.

"Ada pihak mendakwa Perdana Menteri kononnya takut untuk membuang menteri yang saya lantik semasa zaman saya dan ini tidak benar sama sekali kerana pelantikan menteri adalah kuasa Perdana Menteri," katanya.

Beliau juga dilihat mengecam kerajaan Abdullah apabila melahirkan rasa kecewa kerana tiada sebarang perubahan dibuat dalam dasar pemberian Permit Import (AP) kenderaan walaupun beliau telah mendedahkan beberapa penyalahgunaan mengenainya.

Mahathir kecewa

"Saya kecewa, itulah yang boleh dikatakanpun, apa lagi nak kata sebab dasar masih macam tu juga," katanya.

Dr Mahathir, yang juga Penasihat Proton berkata, beliau difahamkan setakat ini masih terdapat "dua orang" yang memegang AP dengan jumlah yang banyak dan mana-mana pihak yang mahu mengimport kenderaan, terpaksa merujuk kepada "dua orang" itu kerana mereka telah mempunyai perjanjian sebagai pembekal kereta import.

"Kenapa hampir 80 peratus AP masih diberi kepada orang yang sama, orang yang kita dah tegur itu, sedangkan telah berlaku penipuan mengenai AP apabila harga kenderaan yang dibawa masuk itu telah direndahkan bagi tujuan pengurangan cukai," katanya.

Dr Mahathir berkata jika dasar pemberian AP seumpama itu diteruskan, Proton akan kehilangan agihan pasaran dan mungkin cuma menguasai antara 10 peratus dan 20 peratus di negara sendiri.

Mengenai pengurusan Proton yang baru, Dr Mahathir berkata sebenarnya pengurusan syarikat pengeluar kereta nasional itu tidak pernah meminta nasihat daripada beliau walaupun beliau dilantik sebagai penasihat.

Hentikan Mahaleel

Beliau juga kesal dengan tindakan Proton menamatkan kontrak bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sedangkan Proton mencapai kejayaan yang baik semasa di bawah pengurusan Tengku Mahaleel.

"Saya cuma dimaklumkan sahaja selepas mereka membuat keputusan termasuklah keputusan menjual saham (pengeluar motosikal) MV Agusta dan menamatkan kontrak Tengku Mahaleel," katanya.

Ditanya kenapa pengurusan Proton tidak meminta nasihat beliau sebelum membuat sebarang keputusan, Dr Mahathir berkata: "Saya pun (rasa) pelik. Sebagai penasihat, saya yang dinasihat, dan mungkin mereka (pengurusan Proton) beranggapan untuk memaklumkan kepada saya mengenai sesuatu keputusan itu adalah dimaksudkan meminta nasihat."

Kepada soalan kenapa beliau masih memegang jawatan sebagai penasihat jika beliau tidak diminta memberi sebarang nasihat, Dr Mahathir berkata: "Saya ini mudah...orang lantik kita terimalah."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home