Scroll images by bigoo.ws

Tuesday, February 21, 2006

Percubaan Adun BN tolak Enakmen Ladang Rakyat gagal

KOTA BHARU, 21 Feb (Hrkh) – Suasana persidangan DUN Kelantan agak tegang hari ini ekoran Adun Barisan Nasional (BN) sepakat menolak rang undang-undang Enakmen Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan 2006.

Ketegangan itu bermula apabila Norzula Mat Diah (BN – Paloh) menjerit dengan suara kuat menuduh kerajaan negeri mahu menipu rakyat, ketika Mohd Zaki Ibrahim (PAS – Kelaboran) sedang membahas enakmen tersebut.

Keadaan tegang berlarutan ketika persidangan DUN berlangsung pada peringkat jawatankuasa. Ketika itu, ketua pembangkang, Dato’ Seri Annuar Musa dan Adhan Kechik (BN - Bukti Bunga) pula mempertikaikan keputusan Speaker yang tidak membenarkan permintaan mereka untuk membincangkan penubuhan Perbadanan Ladang Rakyat pada Jawatankuasa Terpilih Dewan.
“Tuan Pengerusi tidak bersikap adil dan cuba bertindak berat sebelah,” katanya Annuar tanpa dapat menahan emosinya. Ekoran itu, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menangguhkan persidangan DUN untuk berhenti rehat ketika jam hampir 1 petang.

Dengan penolakan itu juga bermakna Adun BN tidak mahu kerajaan negeri membantu penduduk miskin melalui agihan dividen sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan. Ianya berpunca dari sindrom perkataan ‘rakyat’ yang digunakan pada enakmen tersebut.

Penyelia DUN Dabong, Arifabillah @ Mohd Asri Ibrahim berkata, Adun Barisan Nasional (BN) sensitif apabila disebut perkataan ‘rakyat’ memandangkan kegagalan program pembangunan rakyat termiskin (PPRT) turut membabitkan pemimpin mereka sebelum ini.

“Sebab itulah mereka mahu perkataan rakyat ditukar kepada perkataan lain,” katanya sebagai mengulas penolakkan 22 Adun BN terhadap enakmen tersebut.

Sedangkan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob menjelaskan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat diwujudkan bagi membantu rakyat miskin melalui bantuan bulanan dalam bentuk dividen, hasil keuntungan ladang.

Katanya, bantuan sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan akan diagih kepada peserta yang terpilih di kalangan penduduk miskin. “Tanah itu bukan diberi milik kepada syarikat yang diberi konsesi, sebaliknya ia adalah milik Perbadanan Ladang Rakyat.

Ketika undian hendak dibuat, seorang wakil pembangkang, Haji Kamaruddin Mohd Noor (BN – Semerak) meminta Speaker membilang undi dengan menanya seorang demi seorang. Kesemua 22 Adun BN menolak, manakala 23 Adun kerajaan menyokong.

Enakmen itu dilulus dengan kelebihan satu undi. Sementara itu, bekas pengamal undang-undang, Takiyuddin Hassan berkata, rang undang-undang tersebut boleh diluluskan dengan kelebihan satu undi kerana ia bukan melibatkan pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri.
“Rang undang-undang tersebut merupakan perkara biasa dan ia boleh diluluskan dengan kelebihan satu undi sekali pun,” katanya

0 Comments:

Post a Comment

<< Home