Scroll images by bigoo.ws

Thursday, February 23, 2006

Ezam ucap “Selamat Tinggal” pada politik

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Ezam Mohd Nor akhirnya secara terbuka mengumumkan akan meninggalkan arena politik menjelang hujung tahun ini.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan malaysiakini, beliau mendedahkan, bukan sahaja akan meletakkan jawatannya sebagai ketua sayap pemuda PKR, malah tidak berhasrat untuk memegang jawatan lain dalam part itu.

“Saya tidak berhasrat memegang jawatan lain yang lebih tinggi. Jawatan Ketua Pemuda ini adalah yang terakhir bagi saya di dalam parti ini. Tapi saya tidak akan keluar dari parti, saya akan kekal sebagai ahli biasa,” jelasnya. Apabila ditanya bila “perletakan jawatan rasmi” akan bermula, Ezam berkata, dia merancang untuk memngundurkan diri sebelum berlangsungnya perhimpunan tahunan PKR akan datang yang dijadualkan Disember tahun ini.

“Secara teknikalnya tempoh perkhidmatan saya berakhir pada hujung 2007. Saya sudah nyatakan saya tidak akan mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan akan datang.
“Tapi saya tidak akan tunggu hingga tempoh berkenaan berakhir. Saya bersedia mengundur diri lebih awal untuk memberi peluang dan ruang secukupnya kepada barisan pelapis mengambilalih,” tambahnya.

Ezam bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk kembali semula ke arena politik apabila situasi bertambah baik bagi parti-parti pembangkang.

Dalam kongres tahunan PKR yang baru lalu, Ezam, salah seorang orang yang paling rapat dengan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan dari Angkatan Pemuda PKR.

Tindakannya itu telah menimbulkan spekulasi beliau mungkin menyertai semula Umno. Ezam bagaimanapun telah berkali-kali menafikan spekulasi tersebut.

Ezam yakin keputusannya meninggalkan politik tidak akan mengejutkan para pemimpin PKR kerana mereka telah diberitahu berhubung perkara itu seawal September tahun lalu ketika Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan selepas enam tahun merengkok di penjara.

Gerakan Anti-Korupsi

“Saya memang berniat untuk menamatkan era saya dengan pemuda PKR selepas Anwar dibebaskan. Saya percaya ini adalah masa yang tepat untuk berundur. Malah saya telah mengumumkan hasrat untuk tidak mempertahankan jawatan saya dalam sayap parti ini pada kongres tahunan 2004,” ujarnya.

Bagaimanapun para pemimpin PKR termasuk Anwar telah memujuknya supaya menangguhkan hasratnya bagi mengelakkan sebarang gangguan atau masalah dalam proses penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia.

Beliau telah mengulangi hasratnya untuk berundur sekali lagi kepada Anwra dan pemimpin PKR dalam kongres parti tahun lalu dan kali ini mereka merestuinya.

“Mereka bersetuju tetapi mahu saya mengumumkannya selepas tamat kongres berkenaan. Mereka mahu kongres itu berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi dan saya menyetujuinya,” jelas beliau lagi.

Sambil menyatakan beliau telah memberikan sumbangan secukupnya kepada parti sejak ditubuhkan tujuh tahun lalu, Ezam mengakui terdapat ruang yang amat terhad bagi parti-parti pembangkang melakukan perubahan di negara ini.

Menyedari hakikat itu beliau mengambil keputusan untuk mencuba “sesuatu yang baru” bagi meneruskan agenda reformasinya.

“Saya mahu melihat sama ada lebih berkesn memperjuangkan perubahan dari luar arena politik. Saya telah mencubanya dari dalam parti tetapi nampaknya ruangnya terlalu terhad.

“Kita mempunyai masyarakat yang tidak begitu tahu tentang hak dan prinsip asas demokrasi termasuk kebebasan media dan hak bersuara . Jadi usaha perlu dibuat untuk kembali kepada asas, mendidik mereka berhubung isu-isu tersebut,” jelasnya.

Ezam berkata, oleh sebab itu beliau menubuhkan badan bukan kerajan (NGO) Gerakan Anti-Korupsi (Gerak) beberapa bulan lalu. Keputusannya untuk berjuang melalui NGO juga bertujuan menghilangkan presepsi bahawa perjuangannya selama ini hanya untuk membebaskan Anwar.
Mengenai penggantinya dalam pemuda PKR, Ezam berkata, Naib Ketua sekarang, Shamsul Iskandar Mohd Akin adalah calon terbaik.

“Dia adalah pilihan ahli-ahli pemuda , Dia masih muda, berumur bawah 35 tahun dan aktif terlibat dalam gerakan pemuda sejak beberapa tahun lalu.

“Ramai menganggapnya sebagai tokoh yang berbakat besar. Saya mempunyai keyakinan padanya,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home