Hamas sedia iktiraf Israel
BAITULMAQDIS 26 Feb. - Bakal Perdana Menteri Palestin semalam berkata, Hamas ''bersedia untuk mengiktiraf'' Israel jika negara Yahudi itu men-yerahkan semula hak dan tanah yang didudukinya sejak 1967 termasuk Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Hamas telah memilih Ismail Haniyeh, 43, yang berasal dari Gaza sebagai Perdana Menteri Palestin kerana dianggap seorang yang pragmatis selepas memenangi pilihan raya 25 Januari lalu.
Pergerakan ini berharap dapat membentuk kerajaan dalam tempoh dua minggu.
''Jika Israel mengisytiharkan bahawa ia akan menyerahkan semula hak dan tanah kepada rakyat Palestin, maka kami bersedia mengiktiraf mereka,'' katanya dalam temu ramah dengan Washington Post.
Bagaimanapun Ismail tidak menya-takan bentuk pengiktirafan tersebut.
Ismail juga berkata, Hamas turut mempertimbangkan rundingan dengan Israel jika negara Yahudi itu berundur dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dan mengiktiraf ''hak untuk pulang'' kepada semua pelarian Palestin semasa perang 1948 dan juga para waris mereka.
Bagaimanapun dalam kenyataan awal hari ini, Ismail menjelaskan, pihaknya hanya bersedia untuk mengadakan perjanjian keamanan sementara jangka panjang, bukannya mengiktiraf Israel.
Hamas sebelum ini menolak rundingan dengan Israel yang disifatkan sebagai membuang masa tetapi sejak kebelakangan ini menyatakan bahawa ia boleh menerima sesetengah aspek dalam perjanjian damai sementara.
''Biarkan Israel menyatakan ia mengiktiraf negara Palestin mengikut sempadan 1967, membebaskan semua tahanan dan mengiktiraf hak pelarian kembali ke Israel. Hamas akan mengambil pendirian jika ini terjadi,'' kata Ismail.
Bagaimanapun Israel menyatakan, ia tidak akan berundur dari Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur serta tidak akan membenarkan kepulangan berjuta-juta pelarian Palestin ke wilayah Israel.
''Kami tidak mempunyai perasaan bermusuhan terhadap orang Yahudi. Kami tidak berniat membuang mereka ke laut. Apa yang kami tuntut adalah tanah kami, bukan membahayakan orang lain,'' jelasnya.
Sementara itu Israel mengalu-alukan kenyataan Ismail itu dalam nada yang berhati-hati.
Menteri Kabinet Israel, Meir Sheetrit berkata: ''Saya harap mereka dapat ubah pendirian... Mereka (Hamas) mungkin mula bercakap dengan maksud yang lain. Kami tiada sebarang masalah bercakap dengan Hamas dan mencapai penyelesaian.''
0 Comments:
Post a Comment
<< Home